Buletin

TOYOTA GAZOO RACING FESTIVAL MUSIM KE-3 KEMBALI SEPTEMBER 2019!

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan penganjuran Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival musim ketiga yang akan bermula September depan.

Perlumbaan itu akan melibatkan empat pusingan dengan lapan perlumbaan keseluruhannya. Ia melibatkan tiga litar jalanan yang direka khusus, termasuk satu lokasi di Litar Antarabangsa Sepang. 

Lebih 40 orang pelumba yang akan bertanding dalam tiga kelas perlumbaan – Promotional untuk barisan selebriti, diikuti oleh kelas Sporting dan Super Sporting, masing-masingbagi pelumba-pelumba amatur dan profesional.

TGR musim ketiga juga tidak hanya tertumpu kepada litar semata-mata kerana perlumbaan siri Gazoo Racing Velocity E-Sports akan turut diadakan semasa festival berlangsung.

Pertama kali diperkenalkan September tahun lalu, pertandingan perlumbaan secara maya itu telah berjaya menarik sebanyak 400 penyertaan.

Beberapa penambahan baru bakal dibuat untuk  TGR Festival musim baru. Ini termasuklah penglibatan Gazoo Racing Outlet yang akan mempamerkan model-model kenderaan yang diilhamkan daripada penglibatan Toyota dalam sukan pemotoran dunia. Salah satunya ialah Gazoo Racing Supra.

Toyota ingin membawa peminat dan pelanggan di sini lebih dekat kepada jenama Toyota serta barisan produknya disamping memanfaatkan warisan perlumbaanya selama ini.

“TGR Festival bukanlah untuk sekadar menjual lebih banyak kenderaan, sebaliknya untuk meraikan kejayaan Toyota dan Gazoo Racing dalam arena sukan perlumbaan dunia.

“Dari Rali Dakar dan Kejuaraan Rali Dunia hinggalah kepada kejayaan terbaru dalam 24 Jam Le Mans, pencapaian itu kemudian diterjemahkan untuk manfaat semua,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Mazda CX30

Membawa sukan perlumbaan kepada khalayak umum tidak hanya diterjemahkan kepada penganjuran TGR Festival yang menggunakan litar jalanan dibina khas seperti yang dilihat di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor sebelum ini.

Tetapi format perlumbaan hanya dengan satu model iaitu Vios turut menjadikannya mampu disertai oleh pelumba-pelumba amatur dan profesional.

Pencapaian musim kedua menyaksikan seorang pelumba berumur 14 tahun berjaya beralih dari perlumbaan go-kart kepada kereta lumba sedan. 

Ini membuktikan bahawa TGR Festival sebuah platform berkesan untuk pelumba muda mengasah bakat dan kemahiran mereka sebelum terlibat dalam tahap perlumbaan lebih tinggi.

Selebriti yang akan beraksi dalam kelas Promotional terdiri daripada barisan penyanyi, penyampai dan pelakon. Mereka ialah Shukri Yahaya, Shawn Lee, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Nabila Razali, Wani Hasrita, Janna Nick dan juara bertahan, Diana Danielle.

Musim ketiga bakal menyaksikan penyertaan dua muka baru, Ain Edruce dan Syafiq Kyle. Takeyama sendiri akan berlumba bagi musim ketiga berturut-turut.

Barisan penaja bagi musim ketiga TGR Festival ialah Toyo Tires, pembekal teknologi automotif Denso, TRD Asia, jenama pelincir dari Jepun Moty’s, Enkei, minuman tenaga M7 dan Toyota Capital Malaysia.

Musim Kedua TGR Festival yang berakhir April lalu selepas menamatkan empat pusingan dengan lapan perlumbaan berjaya menarik lebih 80,000 pengunjung, 1.1 juta tontonan atas talian serta tiga juara baru bagi setiap kelas perlumbaan.

Tags
Google ads
Back to top button