Buletin

TOYOTA GAZOO RACING LANCAR PERLUMBAAN UNTUK PS4

YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan sekarang ini dalam agenda mempopularkan sukan elektronik (e-sports) ke peringkat lebih tinggi.

Walaupun terdapat suara-suara sinis mengenai agenda tersebut namun perlu diakui bahawa sukan elektronik sudah diiktiraf dunia selain daripada menawarkan ganjaran lumayan.

Sukan elektronik juga bukan sekadar permainan tetapi melibatkan industri yang bernilai jutaan ringgit.

Terbaru TOYOTA GAZOO Racing (TGR) mengumumkan penglibatan ke dalam sukan permotoran elektronik apabila melancarkan GR Supra GT Cup untuk PlayStation®*14 (PS4®).

Perlumbaan Gran Turismo Sport adalah yang pertama di dunia untuk model sama (one make race) dan bakal bermula pada April 2019.

Selain daripada aktiviti permotoran elektronik, TGR juga akan menjadi rakan rasmi Kejuaraan Gran Turismo yang diiktiraf FIA.

Kejuaraan tersebut menggunakan simulator pemanduan sebenar yang dianjurkan dengan kerjasama FIA.

Bermula tahun ini, sukan permotoran elektronik adalah salah satu daripada asas utama aktiviti permotoran TGR dan juga sebagai usaha menjadikan sukan permotoran dan kereta sport lebih mudah diakses serta dinikmati pelbagai lapisan umur di serata dunia.

Satu lagi perkara menarik ialah input daripada acara elektronik ini turut mempunyai fungsi yang berguna dalam azam terbaru Toyota iaitu making ever-better cars.

Tiada aktiviti sia-sia untuk pengeluar kereta tiga teratas dunia ini.

Penglibatan oleh Toyota dalam mendekati dengan peminat dan sukan permotoran sebenarnya sudah ditunjukkan berjaya seperti yang dibuktikan oleh Nissan melalui program GT Academy.

Daripada permainan elektronik diangkat menjadi pelumba sebenar!

Tags
Google ads
Back to top button