Buletin

TOYOTA GR86 SUDAH SAMPAI DI MALAYSIA. 2.4L NA, 237PS, BERMULA RM295K

Selepas lama menunggu, peminat kereta sports pacuan roda belakang ‘mampu milik’ GR 86 rasmi dilancarkan ke pasaran Malaysia. 

Sedia maklum bahawa jentera ini merupakan generasi kedua selepas Toyota GT86 yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Namanya ditukar menjadi GR86 kerana ia kini sebahagian daripada keluarga kereta berprestasi tinggi Gazoo Racing. 

Berbeza dengan model terdahulu, GR 86 menggunakan enjin bersesaran lebih besar iaitu FA24D 2.4 liter aspirasi biasa. Enjin yang diambil daripada Subaru itu mampu menjana kuasa sehingga 237PS pada 7,000rpm dan tork 250Nm pada 3,700rpm. 

Sama seperti GT 86, pelanggan boleh memilih GR 86 yang bertransmisi manual atau automatik enam kelajuan bersama paddle shifter. 

Pemandu dijanjikan keseronokan ketika mengendalikan jentera ini dengan adanya ciri pembeza gelincir terhad pada gandar belakang,  suspensi MacPherson di depan dan double wishbone untuk roda belakang. 

Titik graviti kini juga lebih rendah, selain lima tetapan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC) yang boleh dilaraskan mengikut keperluan. 

Dari segi luaran, rekaan GR86 banyak membawakan elemen penggayaan daripada kereta-kereta sports terdahulu seperti 2000GT dan AE86 Levin. Antranya termasuklah tip ekzos berkembar, lencana GR dan rim aloi bersaiz 18 inci yang dibalut  tayar Michelin Pilot Sport. 

Seperti dijangka, ruang kabin GR86 hadir dengan susun atur ringkas dan ergonomik. Tempat duduk boleh dilaras enam cara, selain dibalut oleh gabungan kulit premium dan suede. 

Sistem infohibur GR86 bersaiz lapan inci pada papan pemuka menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Skrin info TFT bersaiz tujuh inci pula dilengkapi mod Track yang membolehkan pemandu membaca data-data yang penting terutama ketika di atas litar.

Aspek keselamatan GR86 ditingkatkan tujuh beg udara SRS, sistem pra-pelanggaran, amaran keluar lorong, kawalan jelajah (fungsi adaptif untuk varian automatik) dan lampu bantuan suluhan tinggi. 

Jika berminat, Toyota GR86 boleh anda miliki pada harga bermula RM295,000 untuk versi manual, dan RM305,000 (automatik).

GALERI

Google ads
Back to top button