Buletin

TOYOTA GR COROLLA 2023 RASMI DILANCARKAN. 1.6L TURBO, 300PS, BERMULA RM355K!

Selepas melakukan debut di Thailand pada penghujung tahun lalu, kini tiba giliran Malaysia untuk menerima kenderaan berprestasi Toyota GR Corolla.

Harus tahu bahawa ia merupakan model terbaharu dalam keluarga GR selepas GR Supra, GR 86 dan GR Yaris. 

Sudah pasti, hatchback tersebut menawarkan  pengendalian terbaik, dinamik dan memiliki penampilan yang sangat sporty.

GR Corolla menggunakan khidmay enjin pengecas turbo 3 silinder G16E-GTS 1.6 liter yang turut digunakan oleh GR Yaris. Cuma, prestasi enjin berkenaan telah ditingkatkan menjadi 300PS pada 6,500 rpm dan 370Nm di antara 3,000 dan 5,550 rpm.

Jentera itu hanya ditawarkan dengan transmisi manual 6-kelajuan pintar (iMT), di samping sistem pacuan semua roda (AWD) GR-Four yang dibangunkan menerusi penglibatan TOYOTA GAZOO Racing dalam Kejohanan Rali Dunia. 

Anda boleh mengharapkan pengendalian yang mengujakan kerana terdapat tiga mode pemanduan dan mode AWD disediakan. Jadi, pemandu boleh memilih  tiga mod pemanduan dan AWD itu untuk disesuaikan dengan keadaan jalan raya atau kecenderungan peribadi.

Aspek cengkaman dan kestabilan di atas jalan licin juga dipertingkatkan menerusi ciri pembezaan gelinciran terhad Torsen pada gandar hadapan dan belakang. 

Tidak sukar untuk membezakan GR Corolla dengan ahli keluarga GR kerana ia  mempunyai reka bentuk hatchback yang agresif, fender lebar, bumbung gentian karbon, bolong bonet berfungsi dan aksen hitam berkilat.

Jeriji hadapan yang lebih besar diapit oleh corong udara sisi, di samping tiga ekzos di belakang dan spoiler yang aerodinamik. Penampilan garang GR Corolla diserlahkan lagi dengan penggunaan rim aloi ENKEI hitam bersaiz 18-inci yang dibalut oleh tayar Yokohama ADVAN Apex 235/40 berprestasi tinggi.

Masuk ke ruang kabin, pemilik GR Corolla dihidangkan dengan susun atur yang selesa, prakltikal dan penuh fungsi. Seperti semua model GR dan GR Sport, tema hitam disertakan dengan aksen merah di sekeliling kabin.

Ruang itu juga dilengkapi paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci dan paparan Head-Up. Sebaik sahaja enjin dihidupkan, paparan instrumen digital memaparkan animasi  GR serta mod AWD, tekanan turbo, kedudukan peralihan gear dan maklumat lain.

Sistem infotainmen pula terdiri daripada pengan paparan skrin sentuh bersaiz 9 inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. 

Seperti model GR yang lain, hatchback itu didatangkan dengan ciri keselamatan aktif tahap tinggi bersepadu yang dikenali sebagai Toyota Safety Sense. Tidak ketinggalan, tujuh beg udara SRS untuk memberi perlindungan sekiranya berlaku kemalangan serius.

GR Corolla mempunyai Sistem Telematik Kenderaan yang berfungsi menjejak lokasi dengan tepat. Ciri ini pasti sangat membantu sekiranya ia dicuri. 

Terdapat juga bahagian hadapan Digital Video Recorder (DVR) Toyota Premium Security dan ciri Filem Solar sebagai standard.

Untuk semua ini, anda perlu membayar harga RM355,000 sahaja… 

GALERI

Google ads
Back to top button