
TOYOTA GR YARIS 2020, AKIO TOYODA UJI PERINGKAT AKHIR
Pada masa dunia automotif sibuk dengan program elektrifikasi Toyota pula mengambil jalan yang menyeronokkan. Toyota sekarang ini sedang asyik supaya produknya sedap dipandu selain daripada reka bentuk menawan.
Ini boleh dilihat pada famili Corolla seperti Sedan, Hatchback dan Touring. Malah SUV kecil C-HR sendiri mempunyai rasa berbeza. Camry yang merupakan sedan eksekutif juga tidak lepas dengan falsafah baharu.
Selain itu Toyota turut memberi perhatian serius pada WRC, WEC dan Rali Dakar dan mencatatkan prestasi menarik.
Satu lagi model yang harus diberi perhatian serius ialah Yaris. Model baharu dilancarkan pada Oktober lalu dan Toyota sudah pun mempunyai rancangan hebat.
Pada Pameran Kenderaan Tokyo (TAS) 2020 Januari depan Toyota akan mempertontonkan GR Yaris.
Ini adalah model kedua untuk pasaran global daripada siri GR selepas GR Supra yang diperkenalkan pada tahun lalu.
TOYOTA GAZOO RACING (TGR) membangunkan kereta dengan cara yang dinamik iaitu menguji di jalanan serata dunia, bertanding dalam pelbagai jenis perlumbaan dan kategori.
TGR juga telah membuktikan keupayaan dengan menjuarai lima perlumbaan WRC pada musim 2018 dan memenangi kategori pemandu dan juru pandu arah pada musim 2019.
GR Yaris ini dikatakan menggunakan teknologi, pengalaman dan pengetahuan yang ditimba dari penglibatan dalam WRC.
Satu lagi perkara yang harus dipuji mengenai Toyota ialah penglibatan presiden Akio Toyoda dalam program permotoran. Beliau juga seorang TGR Master Driver menggunakan nama Morizo.
Beliau telah memandu sendiri GR Yaris dalam fasa ujian akhir sehingga tahap maksimum.
Sebelum dipamerkan di TAS 2020, GR Yaris akan dibawa ke Festival Perlumbaan TOYOTA GAZOO di Jepun pada pertengahan Disember.
Spesifikasi GR Yaris akan diumumkan di dalam masa terdekat.