TOYOTA GR YARIS AP4 BAHARU MULA MENUNJUKKAN TARINGNYA DI PEMBUKAAN ARC 2021
Jentera rali yang dinantikan di rantau Asia Pasifik, Toyota GR Yaris AP4 akhirnya telah pun menunjukkan belang dan kuasanya apabila menepati ramalan untuk mendominasi saingan pembukaan Australia Rally Championship (ARC) 2021 apabila berjaya menduduki posisi podium 1 – 2 di Netier National Capital Rally yang berlangsung minggu sudah.
Pasukan Toyota Gazoo Racing Australia sememangnya musim ini agak digeruni melalui gandingan dua pemandu adik – beradik, Harry Bates dan Lewis Bates yang memandu jentera terbaharu, Toyota GR Yaris AP4. Harry Bates merupakan juara ARC pada tahun 2019 yang mana beliau ketika itu turut memandu jentera Toyota Yaris AP4. Tahun sudah kejuaraan ARC tidak dapat dijalankan dek penangan Covid-19 ini.
Pada perlumbaan pembukaan ini, Harry Bates ternyata cukup unggul dalam saingan walaupun beliau menghadapi sedikit masalah elektronik terhadap jentera yang buat pertama kalinya bersaing secara kompetetif setelah diperkenalkan sebelumnya. Prestasi adiknya Lewis Bates yang memandu jentera dengan pelekat nombor 2 turut menampilkan aksi cemerlang untuk berada di kedudukan kedua keseluruhan. Paling menarik sudah tentulah penampilan GR Yaris AP4 ini apabila menampilkan rekaan grafik yang sama seperti jentera Yaris WRC tahun sebelumbya.
Toyota GR Yaris AP4 baharu ini sebenarnya dibangunkan dengan kerjasama diantara Toyota Gazoo dan juga Nael Bates Motorsport, sebuah firma kejuruteraan yang cukup sinonim dengan jenama Toyota Yaris dalam dunia rali di Australia. Tapi yang menariknya, model AP4 yang ini merupakan homologasi pertama seumpamanya buat model GR Yaris serba baharu ini. Sudah tentu pembinaan model AP4 ini bagi membolehkan jentera rali yang mempunyai rupa bentuk yang cukup garang ini berupaya untuk beraksi dalam saingan rali di rantau Asia Pasifik.
Seperti mana peratuan yang telah ditetapkan, bumbung dan pintu asal sahaja daripada model jalanan dari GR Yaris yang digunakan tetapi chasis dan sistem ampaian telah direka semula bagi memenuhi spesifikasi perlumbaan. Nadi asal yang bersesaran 1.6 liter daripada model jalanan juga masih digunapakai, tetapi beberapa perkakasan perlumbaan seperti turbo, sistem ekzos dan manifold telah digunakan. Kotak gear sequential enam kelajuan turut digunakan bagi membolehkan pertukaran gear yang lebih lancar dan cepat.
Dan tahukah bahawa ini merupakan GR Yaris AP4 yang satu satunya wujud secara rasmi di dunia. Tiada perkhabaran sama ada ianya bakal dibuka untuk jualan atau pun tidak. Agak – agak ada tak model R5 / Rally 2 nanti?
Kredit Foto : FB Harry Bates & Lewis Bates
BACA : GR YARIS AP4 DIDEDAHKAN – INILAH DIA KERETA RALI YANG DINANTIKAN