Buletin

WANITA HILANG LENGAN KIRI KERANA SELAMATKAN KANAK-KANAK DARIPADA DILANGGAR LORI

Seorang wanita di China menjadi hero selepas menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun ketika dia merayau-rayau di atas jalan sebelum dihampiri oleh sebuah lori.

Tindakan berani itu akhirnya menyebabkan Ran Tilan, berusia 46 tahun kehilangan lengan kirinya.

Dalam sebuah video yang tular di media sosial, Ran kelihatan pergi ke arah jalan lalu menangkap kanak-kanak tersebut sebelum kedua-duanya jatuh apabila trak menghampiri mereka.

Seorang pejalan kaki datang membantu lalu membawa kedua-keduanya ke hospital berdekatan. Selepas beberapa siri pembedahan kecemasan, budak lelaki itu berada dalam keadaan stabil. Namun, Ran kehilangan lengan kirinya.

“Apa yang saya rasa bertuah ialah saya berjaya menangkapnya, jika tidak dia akan mati.

“Pada masa itu saya tidak fikir apa-apa, saya hanya berniat untuk menyelamatkan budak itu. Kanak-kanak itu baru berusia dua tahun. Ia berbaloi untuk menukar satu tangan untuk hidupnya,” kata Ran.

Menurut Hongxing News, Ran dan suaminya telah mengusahakan kedai di kawasan kejiranan berkenaan selama lebih 10 tahun. Mereka mengenali ramai penduduk dalam komuniti itu, termasuk ibu budak lelaki itu, bernama Qian.

Sebagai rasa terima kasih kepada Ran kerana menyelamatkan nyawa anaknya, Qian membayar yuran perubatan Ran sebanyak AS$3,400 (RM16,133).

“Dia menyelamatkan seluruh keluarga kami,” Qian memberitahu Hongxing News.

Suami Ran berkata bahawa Ran sangat tertekan apabila dia menyedari bahawa dia kehilangan lengannya, namun masih positif untuk merancang masa depan.

Cao Danbo, doktor yang merawat Ran, berkata bahawa akan ada pembedahan cantuman kulit untuk Ran. Sekiranya dia pulih dengan baik, dia boleh meninggalkan hospital dalam masa 10 hari.

Keberanian Ran mendapat tepukan daripada pengguna internet di China dengan ramai yang menggelarnya sebagai hero.

Google ads
Back to top button