Buletin

TOYOTA HIGHLANDER 2023 UNTUK EROPAH, SUV SAIZ BESAR YANG MENYERLAH!

Reka bentuk kenderaan Toyota sekarang ini tidak lagi nampak kosong dan biasa-biasa. MPV sebesar Alphard dan Vellfire pun dibuat agresif dan garang dan lebih lagi pada model GR dengan pakej kuasanya.

Sebuah lagi model besar yang tampil agresif ialah Toyota Highlander. Model generasi keempat diperkenalkan pada tahun 2019 dengan permukaan badan beralun dan garisan tajam.

Di Eropah Barat, Highlander diperkenalkan pada tahun 2021 dan kini tiba masanya untuk model 2023.

Di antara ciri baharu ialah warna metalik Cypress Green dan sangat jarang untuk sebuah Toyota ditawarkan dalam warna hijau.

Pernah nampak Corolla atau Camry dan model Toyota lain dalam warna hijau?

Tidak salah pun dan gabungan warna hijau dan roda aloi saiz 20 inci warna hitam kilat menyerlahkan imej garang SUV ini.

Pada bahagian dalam pengguna ada pilihan baharu dengan balutan kerusi kulit warna Beige dan Ochre (coklat tanah).

Selain itu, Highlander adalah model terbaharu yang dilengkapi sistem multimedia Toyota Smart Connect.

Skrin sentuh definisi tinggi pada papan pemuka bersaiz 12.3 inci dan mempunyai fungsi tambahan seperti navigasi berasaskan awan (cloud-based).

Sistem itu mengandungi maklumat masa nyata tentang kejadian di jalan raya dan suara terbina dalam (on-board).

Sistem navigasi juga boleh diakses tanpa pemandu perlu memadankannya dengan telefon pintar.

Varian lebih tinggi dilengkapi Toyota Smart Connect+ dengan fungsi tambahan di mana laluan ke destinasi boleh dirancang walaupun sambungan ke storan awan tidak boleh didapati.

Sistem itu turut menyediakan pemetaan bandar secara tiga dimensi, pengecaman isyarat jalan raya dan maklumat lokasi tetap kamera kelajuan.

Sistem baharu juga mempunyai fungsi kawalan jauh seperti kunci dan buka kunci pintu dan pengaktifan lampu isyarat kecemasan bagi mengesan kereta di tempat meletak kenderaan.

Pengguna telefon pintar boleh menggunakan Apple CarPlay dengan sambungan tanpa wayar manakala pengguna Android Auto pula dihubungkan melalui kabel.

Kesemua varian Highlander dilengkapi fungsi pengecas tanpa wayar pada bahagian konsol depan.

Lagi perubahan yang dibuat ialah paparan meter direka baharu dengan meter gabungan digital saiz 12.3 inci untuk mudah dibaca dan operasi yang intuitif.

Paparan grafik boleh diubah mengikut pilihan dengan empat tema iaitu Casual, Smart, Tough dan Sport.

Berkenaan enjin, pelanggan di Eropah Barat (UK, Ireland dll) kekal dengan nadi 2.5 liter hibrid berkuasa 248 DIN hp manakala pelanggan di Eropah Timur mempunyai pilihan baharu.

Enjin 2.4 liter turbo menggantikan enjin 3.5 liter V6 dan lebih ekonomikal bersama pelepasan emisi yang lebih rendah.

Enjin itu berkuasa 269 DIN hp dan ditala untuk respon pecutan dan penghantaran daya kilas lebih tinggi seterusnya mengurangkan keperluan untuk menurunkan gear bagi mendapatkan kuasa.

Google ads
Back to top button