Buletin

TOYOTA SUMBANG 10,000 UNIT PPE KEPADA KKM

Ketika orang ramai kekal duduk di rumah dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19, syarikat-syarikat dalam sektor korporat pula menawarkan rekaan, kejuruteraan dan kemudahan pengilangan untuk membantu mengeluarkan peralatan dan kelengkapan yang diperlukan oleh petugas barisan hadapan di hospital.

UMW Toyota Motor merupakan antara syarikat  yang menyokong usaha berkenaan dengan cara membantu menghasilkan kelengkapan pelindung diri (PPE) melalui anak syarikatnya, Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd (TBU). TBU ialah sebuah syarikat usaha sama dengan Toyota Boshoku Corporation dari Jepun. 

PPE yang berfungsi melindungi para petugas kesihatan daripada dijangkiti wabak COVID-19 ketika merawat pesakit, sangat diperlukan dalam jumlah yang besar.

“Inilah masanya kami berperanan sebagai syarikat korporat yang bertanggungjawab untuk membantu memudahkan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas mereka. 

“Kami mempunyai kemudahan yang boleh mengeluarkan PPE, jadi kami membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah jumlah stok dengan kadar lebih cepat tanpa sebarang kos, jika perlu mendapatkannya dari luar negara,” kata Presiden UMW Toyota Motor, K.Ravindran.

TBU terlibat dalam pengeluaran kerusi kenderaan, kemasan pintu dan sebagainya pada kenderaan yang dipasang di sini. Ia memiliki kemudahan untuk mengeluarkan beberapa peralatan PPE dengan mudah.

Fasiliti berkenaan mempunyai mesin pemotong reka letak automatik serta mesin jahit industri, dengan 75 orang pekerja mahir. 

Templat asal dihasilkan daripada contoh penutup but, tudung dan baju sebelum dimuat naik ke mesin pemotong automatik. Rekaan akhir kelengkapan itu kemudian mendapat kelulusan KKM.

TBU mampu menghasilkan 1,500 PPE sehari dan telah menyerahkan 10,000 unit daripada kumpulan pertama kepada KKM hari ini.

Google ads
Back to top button