Buletin

TOYOTA TAWAR AKSES PATEN KENDERAAN HIBRID TANPA ROYALTI SEHINGGA TAHUN 2030

Toyota Motor Corp (TMC) baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan menawarkan akses tanpa royalti ke atas paten-paten teknologi hibridnya tidak lama lagi.

Inisiatif itu dilihat dapat menggalakkan pembangunan dan pengenalan kenderaan elektrifikasi ke seluruh dunia dalam usaha mengurangan emisi CO2. 

Toyota yang kini memegang sekitar 24,000 paten dalam teknologi hibrid dijangka memberi akses terhadap aspek motor, pengubah kuasa dan bateri. 

Bukan itu sahaja, Toyota juga akan menawarkan sokongan teknikal berasaskan yuran kepada para pengeluar kenderaan lain yang ingin membangun dan menjual kenderaan berteknologi sama yang menggunakan motor, bateri, PCU, ECI kawalan serta sistem elektrifikasi sebagai sebahagian sistem rangkaian kuasa mereka. 

Secara spesifiknya, paten-paten tersebut merangkumi alat ganti dan sistem. Misalnya motor elektrik dan sistem kawalan. Ini merupakan teknologi asas dalam membangunkan pelbagai jenis kenderaan dielektrifikasi termasuklah HEV, PHEV dan EV.

Pengumuman itu dibuat kerana wujud kebimbangan teknologi hibrid tidak lagi relevan memandangkan industri automotif kini dilihat mula beralih kepada kenderaan elektrik sepenuhnya. 

Pengeluar berpengaruh dari Jepun itu mempunyai pengalaman membangunkan kenderaan hibrid selama lebih 20 tahun. Antara produk hibrid yang dilihat berjaya mengubah industri automotif dunia ialah Prius.

“Berdasarkan kepada banyak pertanyaan yang kami terima berkaitan sistem elektrifikasi kenderaan daripada syarikat lain, kami percaya sekarang adalah masa yang tepat untuk memulakan kerjasama,” kata Naib Presiden Eksekutif dan Ahli Lembaga TMC, Shigeki Terashi.

Sejak tahun 2015, Toyota sudahpun menawarkan 5,680 paten berkaitan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).

Google ads
Back to top button