Buletin

TOYOTA UJI ENJIN HIDROGEN PADA GR YARIS. TEKNOLOGI MASIH DI PERINGKAT AWAL

Beberapa bulan lalu, Toyota ada menguji Corolla yang dikuasakan dengan enjin hidrogen dalam perlumbaan Super Taikyu 24-jam. Kini, enjin yang sama dimasukkan ke dalam GR Yaris bagi menguji potensi hidrogen sebagai bahan api.

Berbeza dengan kenderaan sel bahan api lain seperti Mirai, jentera ujian GR Yaris dilengkapi enjin pembakaran dalaman yang dibina khas serta menggunakan hidrogen dan bukannya petrol. Ia hanya meminjam tangki bahan api hidrogen daripada Mirai dan menjalani proses isian semula yang sama. 

Enjin tiga silinder bersesaran 1.6 liter turbo dengan kod G16E-GTS itu memang tidak banyak berbeza berbanding enjin GR Yaris sedia ada. Tetapi ia hadir dengan sistem bekalan dan pancitan bahan api untuk membakar hidrogen. 

Enjin sama telah diuji pada jentera lumba Corolla Jun lalu. Walaupun banyak menghabiskan masa di dalam pit akibat pelbagai isu dan mengisi semula bahan api, jentera itu bagaimanapun berjaya menamatkan perlumbaan 24 jam tersebut. 

Selain dapat menghilangkan emisi berbahaya yang dihasilkan oleh enjin petrol, hidrogen juga terbakar dalam masa lebih singkat, sekali gus membuatkan enjin jadi lebih responsif. Satu lagi kelebihan ialah kereta dapat mengekalkan kebanyakan karekteristik enjin ICE termasuklah bunyi yang garang. 

Sejak dimulakan pada tahun 2017, Toyota menyatakan teknologi enjin hidrogen masih di peringkat awal pembangunan konsep. Biarpun enjin berkenaan masih belum bersedia untuk dikomersialkan, tetapi tindakan Toyota memasang enjin itu ke dalam pelbagai jenis kenderaan secara tidak langsung menunjukkan hala tuju mereka. 

Toyota memang terkenal dengan pendirian tidak mahu bergantung semata-mata kepada elektrifikasi seperti pengeluar kenderaan lain. Ia kini menawarkan rangkaian kenderaan HEV, BEV, PHEV dan FCEV kepada pengguna di seluruh dunia. 

GALERI

Google ads
Back to top button