Pandu Uji

TOYOTA VELLFIRE 2024, MURAH RM 100K TAPI LAGI BERBALOI?

Seperti biasa, setiap kali Toyota melancarkan model Alphard, ia pasti akan ditemani dengan satu lagi model MPV dengan rekaan yang lebih sporti dikenali dengan nama Vellfire. Dalam sebutan Jepun ia akan disebut sebagai Verufaia, hanya muncul selepas Alphard generasi kedua dilahirkan pada tahun 2008

Jadi bagi tahun ini jika Alphard sudah dihasilkan dalam 4 generasi, Vellfire pula akan dihasilkan dalam 3 generasi. Berbeza dengan susun atur produk Toyota yang lain, Vellfire walaupun nampak lebih sporti tapi sebenarnya adalah model yang lebih murah daripada Alphard

Bagi pasaran Malaysia, harganya ialah RM 438,000 atau RM 100,000 lebih murah berbanding dengan Alphard. Jadi adakah berbaloi untk membeli Vellfire ataupun Alphard?

Rekaan luar Vellfire adalah lebih sporti berbanding dengan Alphard dengan lampu depan rekaan split design (lampu atas dan bawah) rekan jeriji depan yang lebih agresif serta lampu kabus diletakkan di bahagian bawah bampar depan

Walaupun secara dasarnya rekaan luaran atau “shell” Vellfire dan Alphard adalah hampir sama, perincian lain menjadikan Velffire ini jauh lebih agresif berbanding dengan Alpahard. Rekaan sisi Vellfire adalah hampir sama dengan rekaan Alphard, mengekalkan garisan Z-Line dengan tema Solid Emotion dan juga Solid Moden

Logo khusus Alphard juga digantikan dengan logo khas Vellfire yang tersendiri. Bahagian belakang juga diubah sepenuhnya bagi membezakan Vellfire, mengetengahkan rekaan lampu belakang tersendiri dan juga rekaan krom di bahagian garisan bawah bampar belakang.

Berbeza dengan Alphard yang menggunakan enjin 2400cc turbo serba baru, Vellfire pula menggunakan enjin 2500cc NA yang lama, satu kombinasi yang agak luar biasa berbanding dengan spesifikasi Jepun. Enjin 2AR-FE 2.5 aspirasi normal dengan sistem dual VVT-i ini menjana sehingga 180 kuasa kuda dan 235Nm tork

Enjin ini sebenarnya dihasilkan untuk menggantikan enjin 2AZ, menghasilkan kuasa yang sama tetapi jauh lebih efisyen serta dipasang dengan Acoustic Control Induction System yang boleh mengubah kepanjangan sistem kemasukan udara berdasarkan keadaan pemanduan

Enjin ini hanya dipadankan dengan sistem transmisi Super CVT-i, kombinasi yang biasa digunakan oleh kebanyakan kenderaan Toyota. Kuasa yang dihasilkan adalah cukup makan, bukan tidak berkuasa dengan sistem CVT-i akan memastikan pecutan adalah lancar dan operasi pada halaju rendah adalah lembut.

Bagi kemasan dalaman, rekaan ruang kabin menggunakan warna hitam dan juga kemasan kulit sintetik. Papan pemuka pula adalah hampir sama dengan Alphard dan Lexus LM, menggunakan skrin multimedia sebesar 14 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar

Sistem bnyi 15 pembesar suara dari JBL masih lagi dikekalkan termasuklah skrin meter digital 12 inci. Skrin ini membenarkan penulis mengakses ciri keselamatan, pengudaraan kusyen, dan sistem penyaman udara lengkap dengan tombol fizikal

Ketinggian dan ciri teleskopik roda stering pula boleh diubah dengan menggunakan suis elektrik. Ruang simpanan konsol tengah datang dengan penutup yang boleh dibuka dari sisi kanan dan kiri, lengkap dengan ciri penyejukan untuk minuman dalam tin.

Namun Vellfire tidak diberikan ciri anjakan pendikit (paddle shifter) dibelakang stering, tiada ciri Head Up Display, kusyen kuasa elektrik dengan 4 cara ubahsuai dan tiada suis heptic pada roda stering.

Kusyen barisan tengah masih menawarkan ciri “Captain Seat”, tirai di bahagian bumbung namun hanya boleh dikawal dengan butang fizikal sahaja tanpa peranti elektronik dengan suis sentuhan. Kusyen ini juga hanya menyediakan ciri pengudaraan, tanpa ciri urutan dan juga meja terbina dalam

Namun ia masih lagi menyediakan soket 3 pin 100 watt, dulang di bahagian tengah antara kusye, kotak simpanan, dan juga 9 poin USB untuk mengecas peranti elektronik. Akses ke barisan ketiga juga perlu dibuat secara manual dan secara umumnya rekaan kusyen belakang adalah sama dengan Alphard.

Seperti yang sedia maklum, perbezaan utama antara Alphard dan Vellfire ialah trenkuasa yang digunakan. Walaupun nampak seperti kurang berkuasa, enjin 2.5NA ini sebenarnya jauh lebih efisyen berbanding dengan enjin turbo 2.4.

Secara purata enjin ini memberikan bacaan bahan api sekitar 15km/liter petrol berbanding dengan bacaan rasmi 11km/liter. Operasi enjin dan gear CVT adalalah lancar, linear namun jika diperah pada RPM tinggi enjin ini akan meraung sedikit.

Halaju tertinggi Vellfire juga terhad pada 170km/jam, menjadikan enjin turbo adalah pilihan yang lebih berkuasa dan memuaskan sekiranya ditawarkan. Dengan berat mencecah 2.1 tan, Vellfire terasa agak malas untuk bergerak terutama jika anda perlu mencelah di laluan sibuk

Respon brek Vellfire boleh dikategorikan sebagai agak lembut, namun untuk pemanduan biasa ia sudah cukup memadai. Brek menggigit dengan baik tanpa menyebabkan anda rasa panik ketika menekan pedal brek rapat ke lantai.

Malah penggunaan tayar Dunlop Sport Ultra High Performance juga membantu Vellfire mendapat cengkaman yang bagus terutama di selekoh. Penggunaan pendakap cesi tambahan pada Vellfire juga mengurangkan olengan cesi dengan ketara terutama di selekoh, menjadikan pemanduan lebih selesa berbanding dengan Alphard

Namun sama seperti Alphard, Vellfire bukanlah jentera yang sesuai untuk melalui selekoh tajam pada halaju tinggi kerana momentum yang terhasil akan menyebabkan Vellfire akan mengalami understeer. Operasi stering adalah ringan, senang digunakan terutama untuk masuk atau keluar dari petak parkir dengan bantuan kamera 540 darjah

Dalam aspek keselamatan Vellfire datang dengan semua ciri keselamatan Toyota Safety Sense, namun beberapa ciri yang ada memang disukai oleh penulis seperti kamera 540 darjah yang terang, lampu depan adaptif serta ciri Traffic Sign Recognition

Seperti biasa terdapat beberapa perkara yang kurang disukai oleh penulis seperti tiang A tidak menyediakan “hand grip” bagi membantu proses kemasukan dalam kereta. Hand grip hanya dipasang di sebelah atas sahaja.

Kusyen belakang dan juga depan tidak menawarkan ciri urutan seperti Alphard. Walaupun enjin 2.5 NA ini menjimatkan namun ia tidak cukup berkuasa terutama pada RPM yang bawah.

Namun kekurangan ini tidaklah menjadikan Vellfire terlalu ketinggalan berbanding dengan Alphard dengan rekaan yang lebih sporti dan pemanduan yang lebih agresif, Vellfire masih lagi menawarkan sebuah MPV yang sesuai untuk dipandu setiap hari untuk membawa ahli keluarga berbanding Alphard yang terasa terlalu eksklusif.

Google ads
Back to top button