
MFORCE CADANG PERKENAL ‘HYPERMOPED’ 250CC
Supermoped merujuk kepada motosikal jenis kapcai yang dikuasakan enjin antara 150cc hingga 185cc dan merupakan segmen motosikal paling popular di Malaysia.

Segmen berkenaan didominasi motosikal seperti Yamaha Y15ZR, Y16ZR, Honda RS150R, RSX serta SYM VF3i. Selain itu juga terdapat pencabar terbaru menerusi Voge FR150 Formica Rossa.
Bagaimanapun, segmen ‘supermoped’ dijangka akan memasuki fasa baharu menerusi maklumat yang disampaikan kepada kami ketika menghadiri China International Motorcycle Trade Exhibition (CIMA) 2024 di Chongqing, China pada Khamis.

Menurut sumber, MForce Bike Holdings Sdn Bhd sedang pertimbang untuk memperkenalkan motosikal segmen ‘kapcai’ bersesaran 250cc. Sekiranya perkembangan itu menjadi kenyataan ini bermakna Malaysia mungkin akan disajikan dengan jentera ‘hypermoped’ 250cc pertama.
Difahamkan, projek tersebut kini berada dalam peringkat pembangunan di China hasil kerjasama erat antara MForce dan pihak pengeluar di sana. Mengambil kira faktor itu, kami jangkakan motosikal berkenaan akan diperkenalkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi sekiranya semua berjalan dengan lancar.
Ketika maklumat tersebut disampaikan tidak dinyatakan sama ada ‘hypermoped’ itu akan dipacu enjin satu atau dua silinder namun kami yakin lebih banyak maklumat akan dikongsikan dari semasa ke semasa.