Buletin

TULAR MOTOSIKAL DISITA JPJ, RIDER DIDAKWA DI MAHKAMAH DISEMBER INI

Seorang penghantar makanan yang tular baru-baru ini bakal didakwa di Mahkamah pada Disember ini, lapor Sinar Harian.

Melalui rakaman yang tular, lelaki terbabit berjalan kaki sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Nilai.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya memerintahkan lelaki berusia 26 tahun itu hadir ke Mahkamah Majistret Seremban pada 18 Disember ini.

Tambahnya lagi, dakwaan dibuat atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh dan tiada insurans.

“Kami hanya mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Tetapi pemuda itu boleh mengambil semula motosikalnya selepas fail siasatan dilengkapkan dan cukai jalan serta insurans diperbaharui,” katanya.

Kisah Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar mendapat perhatian selepas videonya berdurasi 18 saat tular hingga mengundang simpati warganet.

Bagaimanapun media melaporkan pemuda itu mengakui kesalahan dilakukan dan menganggap apa yang berlaku sebagai pengajaran.

Terdahulu, Hanif Yusabra dalam satu kenyataan memaklumkan cukai jalan motosikal ditunggang Muhammad Shahrul Shah didapati sudah tamat tempoh sejak Februari lalu selain tiada insurans.

Menurutnya, tindakan menyita motosikal dilakukan atas tujuan menjaga keselamatan penunggang itu sendiri dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button