Motosikal

TUNGGANG UJI: BAJAJ BOXER 150 – JENTERA LASAK HUJUNG MINGGU, NAK ANGKUT PETAI PUN BOLEH

Sewaktu berkunjung ke Pune, India baru-baru ini atas undangan Modenas dan Bajaj, saya sempat menunggang uji dua buah motosikal keluaran Bajaj.

Selain Dominar 400, satu lagi jentera yang menarik perhatian peserta rombangan ialah Bajaj Boxer 150.

Di pasaran India, Boxer 150 ialah model kembar kepada Discover 150. Jika Discover 150 ialah sebuah stret bike bersesaran kecil untuk kegunaan di bandar, Boxer 150 pula disasarkan untuk pengguna di kawasan pinggir bandar yang mana permukaan jalannya lebih mencabar.

Penghasilan Boxer 150 banyak dipengaruhi oleh kejayaan model Boxer 100 beberapa tahun sebelum ini. Jentera itu begitu laris kerana ia lasak, menjimatkan bahan api dan kena dengan keperluan pengguna di sana.

Berbeza dengan Boxer 100 yang hanya mempunyai gayaan asas dan kurang menarik, Boxer 150 tampil dengan beberapa penambahbaikan agar lebih sedap mata memandang.

Boxer 150 memang boleh dibawa melenjan di jalan-jalan tanah merah di  ladang kelapa sawit atau melalui laluan off-road ringan tanpa sebarang masalah. Malah, beberapa orang rakan media sempat menunggang jentera tersebut di atas kawasan berumput dan tidak rata. 

Dari segi penampilan, jentera ini seakan-akan mengambil inspirasi rekaan sebuah scrambler. Mudguard hadapan yang panjang, lampu utama berbentuk bulat dan tempat duduk rata. Harus tahu bahawa tempat duduk itu cukup panjang untuk dinaiki oleh tiga orang dewasa dengan agak selesa.

Diameter itu juga pasti bermanfaat jika anda ingin mengangkut barang, hasil ladang atau  hutan seperti petai misalnya. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak pula, Bajaj 150 boleh ditunggang di kawasan off-road pada hujung minggu.

Ketika cuba menunggangnya, saya dapati tempat duduk Boxer 150 sedikit tinggi. Bagi anda yang berketinggian sederhana, kedua-dua belah kaki tidak boleh dipijak rata di atas tanah. Biarpun begitu, badannya yang ringan membuatkan saya boleh menunggangnya dengan yakin.

Boxer 150 dipacu oleh enjin satu silinder DTS-i bersesaran 144.8cc dengan satu palam pencucuh. Sebauik sahaja dihidupkan, enjin berbunyi lembut dan sedia untuk beraksi. Mampu menghasilkan kuasa 12PS dan tork 12,7Nm pada 5,000rpm, motosikal ini boleh dikatakan agak torquey juga.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear empat kelajuan dengan nisbah pendek. Maknanya, jika berada dalam kesesakan jalan raya atau masuk hutan, penunggang tidak perlu kerap menukar kedudukan gear.

Lagi satu, jangan silap untuk memasukkan gear. Selepas klac ditarik, tekan ke bawah untuk gear 1 dan seterusnya. Untuk kembali ke gear rendah, tekan tuil di belakang, sama macam nak tukar gear pada kapcai biasa.

Saya memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan karekter pengendalian dan tubuh Boxer 150 yang agak panjang ini. Selepas menunggangnya beberapa ketika, saya dapati jentera ini mesra penunggang. Bahagian hadapan yang ringan membuatkannya ia lincah dan mudah untuk dikendalikan.

Memandangkan jalan awam berhampiran resort golf ini tidaklah panjang, saya tidak dapat  memecut Boxer 150 sepenuhnya. Namun begitu, saya dapat rasakan bahawa motosikal ini sukar untuk memecut melebihi 100km/j. Ini kerana sampai 80km/j pun enjinnya sudah mula mengerang.

Bagi memastikan enjin tidak jahanam apabila terjatuh, satu besi penghalang dipasang pada bahagian hadapan enjin.

Tangki minyak yang pendek dan kedudukan hendal sedikit tinggi memberikan posisi tunggangan yang relaks dan tegak. Jadi, kurang memenatkan jika memandu dalam tempoh yang lama.

Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi dua meter analog berbentuk bulat yang cukup ringkas. Meter sebelah kiri menunjukkan tentang kelajuan dan odometer. Sementara meter sebelah kanan pula terdiri daripada takat minyak dan lampu isyarat membelok.

Persoalannya, adakah Modenas akan membawa masuk Boxer 150 ke pasaran tempatan? Menurut sumber Modenas, pihaknya sedang membuat kajian terperinci sama ada jentera itu sesuai dengan pasaran Malaysia atau sebaliknya.

Saya fikir, jual di Felda atau sabah dan Sarawak mungkin boleh jadi satu permulaan yang baik. Hendak lagi laris, buat kerjasama dengan koperasi Felda misalnya.

Sebagai perbandingan, Boxer 150 dijual pada harga bermula 43,000 rupee atau sekitar RM2,800 seunit. Murah betul ni. Di India, ia dikatakan sebagai motosikal paling mampu milik dan berkuasa dalam kelasnya. 

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button