Artikel Pilihan

ALKISAHNYA ENJIN PETRONAS E01

Selain dari penghasilan enjin GP1 3-silinder untuk Superbike FP-01, Petronas juga dulu pernah menghasilkan sebuah enjin sendiri yang dinamakan E01. Ia hasil kerjasama kejuruteraan Petronas dengan pasukan Formula 1 ketika itu iaitu Sauber Engineering Switzerland. Pembangunan enjin ini dimulakan pada 1997 dan prototype enjin telah diistihar siap pada 1998.

Berita kemunculan enjin ini menjadi hangat dalam kebanyakan forum automotif internet. Sebuah enjin komersial hasil kejuruteraan anak tempatan dan teknologinya dikatakan mendahului zaman. Ia seolah-olah membawa industri automotif negara mara setapak lagi dalam membuktikan Malaysia mampu bersaing dengan pemain-pemain dalam industri automotif antarabangsa.

Enjin bersesaran 2.0-liter ini secara teknikalnya berupaya menjana kuasa sebanyak 204.3PS (150.3KW) pada 7300RPM atau 203Nm Torque pada 5300RPM. Asas binaan enjin ini juga boleh diperkembangkan menjadi enjin bersesaran 1.8-liter atau 2.2-liter.

Enjin dah ada, masalahnya nak letak dalam perut kereta mana. Jadi, cubaan telah dilakukan ke atas beberapa model kereta seperti Lotus Elise dan 2 buah kereta Proton iaitu Satria GTI dan Waja yang dijadikan sebagai kereta Marshal F1 waktu itu.

Pemasangan pada kereta Proton sudah menunjukkan ia sebagai gandingan yang serasi. Waktu itu, sudah nampak enjin ini memang dicipta untuk Proton. Namun entah celah mana silapnya, gandingan ini tak menjadi realiti. Ada juga cakap-cakap belakang yang mengatakan teknologi yang ada pada enjin E01 pada waktu itu terlalu mahal untuk dimiliki oleh Proton, kosnya terlalu tinggi untuk dikeluarkan secara besar-besaran.

Kegagalan ini juga disebabkan faktor Proton pada ketika itu sudah membangunkan enjin Campro untuk kereta-kereta mereka. Ibarat kes peminangan yang ditolak, kisah enjin ini dengan Proton kemudiannya senyap begitu sahaja. Kemudiaannya muncul pula syarikat automotif dari China iaitu Nanjing Automobile yang berminat untuk memiliki E01.

Namun sekali lagi ia gagal direalisasikan.

Nak cerita tentang desas-desus selepas itu memang banyak. Namun yang pasti hingga kini hala tuju untuk mengkomersialkan enjin E01 ini masih tak menentu.

Adakah campur tangan politik, kuasa birokrasi, saingan perniagaan, ego kapitalis atau apa sahaja penyebabnya menjadi penghalang? Mungkin ia akan kekal di bilik pameran sekadar menjadi bukti Petronas mampu membina sebuah enjin.

Akhir kata, kita masih mengharapkan kisah happy ending bagi sebuah teknologi hasil anak tempatan yang dapat digunakan serta diperkembangkan setelah sekian lama terperap.

Banyak masa, wang dan tenaga telah mengalir… sayang sejuta kali sayang!

Spesifikasi teknikal E01:

Valve mechanism: Continuous Control VVT (Variable Valve Timing)
Camshaft: Double OverHead Camshaft (DOHC)
Displacement: 2 litres
Induction: Natural Aspirated
Cylinders: 4, In-line
Valves per cylinder: 4
Block: Aluminum
Weight: 108.9kg
Max Horsepower: 204.3 PS @ 7300rpm
Max Torque: 203Nm @ 5300rpm
Power Output per litre: 100 PS/litre
Volumetric Efficiency: 107.8%
Emission Standards: EURO 2

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button