Buletin

KERETA TERPAKAI LARIS DI AS TAHUN LALU. 40.9 JUTA UNIT TERJUAL, HARGA PUN MEROKET

Pasaran kereta  terpakai Amerika Syarikat menyaksikan fenomena di luar  jangkaan apabila pemilik menjual kenderaan mereka pada harga lebih mahal berbanding harga dibayar untuk membelinya.

Bahkan, jualan kenderaan terpakai mencatat rekod pada tahun lalu dengan 40.9 juta unit terjual di negara terbabit sekali gus melonjak sebanyak 10 peratus berbanding tahun 2020.

Perkembangan luar biasa itu berlaku ketika dunia berdepan kekurangan bekalan cip termasuk untuk kereta baharu akibat pandemik Covid-19.

Situasi itu menyebabkan pengeluaran kereta baharu terbantut sekali gus menyebabkan harga kenderaan terpakai meningkat.

“Ini adalah 100 peratus trend baharu yang tidak akan berakhir dalam masa terdekat,” kata Aurelien Guillaud yang merupakan pemilik Arlington Auto Group (AAG) iaitu syarikat penjual kereta berpangkalan di Arlington, Virginia, tidak jauh dari Washington.

Susulan kekurangan kenderaan baharu, permintaan terhadap kereta terpakai naik mendadak, katanya.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kekurangan bekalan semikonduktor dari kilang-kilang di Asia dan perintah berkurung ketat di China yang dilaksanakan untuk menyekat penularan varian Omicron.

Masaki Kondo yang merupakan seorang wartawan di Washington,  membeli kereta Chevrolet pada  harga AS$60,000 (RM250,788) dalam tahun 2017.

Empat tahun kemudian, dia menjual semula kereta itu kepada pengedarnya di Gaithersburg, Maryland pada harga AS$62,000 (RM259,147).

“Saya menyimpan kereta saya di dalam garaj jadi, ia berada dalam keadaan baik. Namun, saya terkejut kerana harga kereta terpakai itu lebih mahal berbanding apabila saya membelinya ketika ia masih baharu lebih empat tahun lalu,” kata Kondo. –KOSMO/carscoops

Google ads
Back to top button