Buletin

URA-URA: TOYOTA SUPRA GRMN BAKAL DAPAT NADI S58 BMW, KUASA 533 HP!

Selain daripada GR Yaris dan GR Corolla yang menggemparkan dunia tempoh hari, Toyota nampaknya tidak terus melupakan kereta sports yang dibangunkan bersama BMW, iaitu GR Supra.

Menurut laporan terkini daripada Spyder7, Toyota sedang membangunkan Supra varian GRMN yang lebih berkuasa, dengan menggunakan nadi S58 BMW berkuasa 533 hp yang terdapat pada model M3 dan M4.

Tambah laporan itu lagi, GRMN Supra itu dijangka dibekalkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan, dengan pacuan roda belakang sebagai ciri standard dan pacuan semua roda sebagai opsyen.

Selain daripada rupa paras yang lebih garang, GRMN Supra turut dijangka membawakan penggunaan bahan ringan gentian karbon pada bahagian bumbung serta sayap belakang.

Khabar angin dari Jepun itu menyebut GRMN Supra ini bakal muncul seawal tahun 2023, dengan harga jualan sekurang-kurangnya bermula dari 10 juta yen (RM340,321).

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan melibatkan kehadiran model Supra yang lebih berkuasa, selain varian baharu yang disebut-sebut bakal dilengkapi dengan sistem transmisi manual enam nisbah kelajuan. – Spyder7

Google ads
Back to top button