Buletin

MERCEDES-AMG SL 43 – ENJIN 2.0 LITER M139, 381 HP, 480 NM

Selepas pengenalan model SL 63 AMG dan SL 55 AMG dengan nadi V8 turbo berkembar pada tahun lalu, Mercedes-AMG kini menawarkan model dengan enjin empat silinder dan turbo tunggal iaitu Mercedes-AMG SL 43.

Diposisikan sebagai model aras mula, SL 43 AMG ini dikuasakan oleh enjin M139 2.0 liter, dibantu dengan unit pengecas turbo gas ekzos elektrik yang diambil terus daripada model F1, dibantu dengan sistem starter-generator 48 voltan.

Output kuasa adalah setinggi 381 hp dan daya kilas 480 Nm yang masuk antara julat putaran enjin 3,250 rpm-5,000 rpm, sementara sistem starter-generator itu tadi mampu menambah kuasa 14 hp dalam tempoh yang singkat, menjadikan SL 43 ini sebuah jentera hibrid ringan (mild-hybrid).

Dengan transmisi MCT sembilan kelajuan yang memacu roda belakang, pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 275 km/j.

Menurut Mercedes, disebabkan penggunaan enjin yang lebih kecil, ia mampu mengurangkan beban yang ditanggung pada bahagian hadapan, sekaligus memberikan karakteristik pengendalian yang tersendiri.

Secara standard, Mercedes-AMG SL 43 didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci, tip ekzos berbentuk bulat oval, serta perubahan kecil yang terdapat pada bahagian bawah front fascia.

Mercedes turut menawarkan opsyen rim bersaiz 20 dan 21 inci, diikuti sistem stereng gandar belakang, AMG Dynamic Plus Package dan sistem MBUX terkini.

Google ads
Back to top button