
VERSTAPPEN PADAM DOMINASI HAMILTON. RANGKUL JUARA DUNIA F1
Max Verstappen merangkul kejuaraan Formula Satu (F1) sulungnya apabila mengungguli Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina di Abu Dhabi dengan mengetepikan pencabar terdekat, Lewis Hamilton pada pusingan terakhir perlumbaan.
Hamilton tampak mendominasi sebahagian besar perlumbaan selepas memintas Verstappen seawal pusingan pertama sebelum kereta keselamatan masuk ke dalam litar susulan kemalangan yang dihadapi Nicholas Latifi ketika perlumbaan berbaki enam pusingan.
Situasi itu meletakkan Verstappen berada di belakang Hamilton sebaik perlumbaan bersambung dan pelumba Red Bull itu berjaya memotong Hamilton di pusingan terakhir.

Hamilton yang juga juara bertahan itu bermula dengan baik apabila mendahului Verstappen namun dua pelumba itu nyaris bertembung pada selekoh ketujuh di pusingan pertama.
Namun tiada apa apa tindakan diambil oleh steward perlumbaan sehingga menyebabkan Verstappen dan Red Bull berang kerana insiden itu.
Verstappen bergelut untuk mengekalkan kelajuan dengan tayar lembut sehingga memaksa dia bertukar pada tayar keras di penghujung pusingan ke-13 dan Hamilton turut berhenti di pit pada pusingan seterusnya.

Rakan sepasukan Verstappen, Sergio Perez yang mendahului perlumbaan bekerja keras untuk menghalang Hamilton daripada kembali di hadapan sekali gus membantu Verstappen terus mengejar ketika perlumbaan berbaki 20 pusingan.
Hamilton kembali mendahului namun kemasukan kereta keselamatan pada pusingan ke-38 menghidupkan peluang Verstappen untuk bangkit memberi cabaran.
Aksi dramatik ditonjolkan apabila Verstappen berjaya mengejutkan Hamilton di pusingan terakhir untuk muncul juara dunia. – BH