Motosikal

VESPA ELETTRICA – SKUTER ELEKTRIK BERGAYA RETRO

Vespa sekali lagi mencipta sejarah dan menarik perhatian ramai dengan pengenalan skuter elektrik pertama mereka yang dinamakan Vespa Elettrica. Kini ia sedang dipamerkan kepada umum di International Cycle and Motorcycle Show dan menjanjikan prestasi yang lebih baik daripada enjin pembakaran dalaman 50 cc.

Malah jika anda sudah biasa menunggang Vespa sebelum ini anda akan dapati beberapa aspek adalah lebih baik. Antaranya ialah kuasa pecutan. Seperti mana yang kita ketahui, motor elektrik memberikan kuasa segera untuk membantu pecutan. Puncak kuasa 4 kW akan memberikan kelajuan kepada skuter elektrik ini.

Jarak operasi Vespa ini ialah sekitar 100 kilometer dengan menggunakan bateri lithium-ion yang boleh dicas menggunakan kabel yang diletakkan di bahagian bawah tempat duduk. Vespa menyatakan yang masa diambil hanya 4 jam untuk cas penuh jika dilakukan pada soket elektrik biasa di rumah.

Tapi kena ingat, kuasa elektrik di rumah negara kita ialah 240 volts berbanding 220 volts di Eropah dan 110 volts di AS. Ini bermakna kemungkinan masa cas di Malaysia adalah lebih pendek berbanding Eropah dan AS (cuma harap-harap harga skuter itu sendiri tak adalah mahal sangat). Kalau nak lagi cepat, pengguna boleh menggunakan stesen pengecas yang disediakan di tempat-tempat tertentu.

Jika anda rasakan jarak 100 kilometer masih terlalu pendek, Vespa ada penyelesaiannya menggunakan model Vespa Elettrica X. Selain motor elektrik, skuter ini mempunyai generator elektrik kecil yang dikuasakan dengan petrol. Ia akan memberikan jarak operasi 200 kilometer. Konsep yang sama digunakan oleh BMW pada model i3 mereka, cuma ia adalah sebuah kereta kecil dan bukannya sebuah skuter.

Menggantikan paparan meter asal ialah Platform Multimedia Vespa yang berwarna dan disambungkan kepada telefon pintar pengguna. Ia juga mempunyai fungsi seperti sebelumnya iaitu menunjukkan kelajuan, cas bateri dan sebagainya.

BACA: FAKTA UNIK DAN MENARIK TENTANG SEBUAH…..VESPA

Vespa Elettrica ini merupakan penyelesaian bijak bukan hanya terhadap pencemaran tetapi juga dalam mengurangkan kebisingan di kota-kota besar macam Kuala Lumpur. Memang sudahada syarikat lain yang menghasilkan skuter dan motosikal elektrik di luar sana tetapi sudah tentu mereka tidak mempunyai reputasi dan status ikon seperti Vespa bukan?

 

Skuter ini akan mula dijual pada tahun 2018 dan dihasilkan di Pontedera, Itali dengan tujuh pilihan warna. Harganya bagaimanapun masih belum diumumkan.

GALERI:

Google ads
Back to top button