Motosikal

EICMA 2017: KYMCO XCITING S 400 – SKUTER SPORTS TOURING YANG MENGUJAKAN

Sebut sahaja nama Kymco, kita mesti ingat kepada Modenas. Jadi pada EICMA 2017, abang Japar sempat pergi ke booth Kymco di mana mereka telah melancarkan model terbaharunya, Kymco EXCITING S 400.

EXCITING S 400 ialah pengganti kepada model XCITING 400 yang dilihat cukup berjaya di pasaran sebelum ini. Dibangunkan dengan DNA “Win My Heart”, Kymco mahu menawarkan sebuah skuter sport touring yang terbaik.

Skuter maxi ini digerakkan oleh enjin bersesaran 400cc yang mampu menjana kuasa 35.5hp dan tork 37.7Nm. Dipadankan dengan kotak gear CVT, ia menjanjikan kuasa responsif sama ada ketika menunggang di laluan bandar mahupun di lebuh raya.

EXCITING S 400 hadir dengan rekaan ringkas dan aerodinamik. Bahagian hadapannya dipasang dengan lampu nyalaan siang (DRL) yang pertama mendapat kelulusan ECE.

Lampu tersebut meningkatkan tahap pandangan dan menyerlahkan lagi penampilannya yang agresif. Bahagian belakang pula dibezakan menerusi penggunaan lampu LED.

Kymco telah meningkatkan aspek ketegaran gandar, enjin dan kerangka skuter ini. Penambahbaikan tersebut berjaya menambah kestabilan ketika ditunggang laju dan membuatkannya semakin mudah untuk dikendalikan.

Selain tempat duduknya yang besar dan empuk, bar hendal berbentuk V serta cermin penghadang angin yang boleh dilaras memberi keselesaan kepada penunggang.

Ruang penyimpanan luas yang boleh dibuka melalui dua bahagian pula membolehkan penunggang menyimpan pelbagai barangan peribadi dengan mudah dan selamat.

Dengan pengenalan rasmi EXCITING S 400 pada tahun depan, Kymco dijangka mengetengahkan ciri Noodoe Navigation. Ia disifatkan dengan sistem navigasi yang berorientasikan kepada penunggang demi menjamin keselamatan mereka.

Bakal didedahkan pada acara Tokyo Motorcycle Show 2018, semua pemilik Kymco Noodoe boleh menggunakan sistem itu dengan hanya menaik taraf aplikasi Noodoe.

GALERI

Google ads
Back to top button