Motosikal

HONDA X-ADV 2021 TIBA DI EROPAH. LEBIH POWER, JIMAT DAN RINGAN

Bagi merancakkan kembali pasaran motosikal di Eropah, Honda memperkenalkan beberapa jentara baharu untuk pengguna di sana. 

Anata model yang mendapat perhatian ramai ialah X-ADV 2021. Sebagai model baharu, penambahbaikan yang diterima oleh skuter adventure itu sebenarnya cukup signifikan. Bukan sekadar rupa luaran sahaja ang berubah, malah banyak aspek lain turut dipertingkatkan. 

Dari segi penampilan, X-ADV 2021 kini dilihat lebih garang dengan penggunaan panel badan baharu. Lampu utama LED disepadukan bersama lampu nyalaan siang (DRL LED). Tempat duduknya diubah agar lebih rendah menjadi 820mm. 

Cermin penghadang angin di hadapan pula boleh dilaras secara manual sehingga lima tahap mengikut kesesuaian penunggang. 

Segala maklumat tunggangan dipaparkan pada panel TFT bersaiz 5.5 inci berwarna penuh. Sebagai sebuah jentera moden, ia boleh disambungkan dengan peranti pintar menerusi  Honda Smartphone Voice Control System.

Sistem berkenaan membolehkan penunggang untuk menerima panggilan telefon, memainkan muzik, emel dan navigasi. 

X-ADV masih menggunakan eniin sama seperti model terdahulu. Namun, enjin dua selinder sebaris SOHC bersesaran 745cc itu telah ditingkatkan kuasanya sebanyak 4hp kepada 57.8hp dan tork 69Nm.

Enjin itu juga sudah melepasi piawaian ketat Euro5 dan menerima penambahbaikan pada injap pemasaan, kemasukan udara dan ekzos. 

Bagi menawarkan sensasi tunggangan yang lebih mengujakan, nisbah gear kotak transmisi klac berkembar (DCT) telah diubah.

Ini memberikan pecutan awal lebih pantas di mana gear 1, 2 dan 3 lebih pendek, manakala gear 4, 5 dan enam pula lebih panjang. Tetapan itu juga didakwa mampu memberi lebih penjimatan. Honda memberitahu dengan satu tangki penuh 13.2 liter, jentera itu mampu bergerak sejau 365km. 

Seperti model sebelumnya, penunggang boleh menukar kedudukan gear secara manual menerusi butang pada hendal bar. 

Versatiliti X-ADV 2021 dipertingkatkan lagi dengan sistem ride by wire yang menawarkan lima mode tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. 

Mode User membolehkan penunggang untuk melaras sendiri aspek hantaran kuasa, sistem brek ABS, Honda Selectable Traction Control (HSTC) dan engine braking mengikut kecenderungan mereka. Sementara talaan dalam mode Standard, Sport, Rain dan Gravel pula telah ditetapkan secara default.  

X-ADV 2021 hadir dengan ciri yang memudahkan penunggang seperti sistem kunci pintar, tongkat tengah, lampu isyarat membelok yang ditutup sendiri,  Emergency Stop Signal (ESS), ruang penyimpanan barang di bawah pelana dan banyak lagi. 

Mengenai harganya, ia masih belum diumumkan oleh Honda.

GALERI

Google ads
Back to top button