Motosikal

VINCENT BLACK LIGHTNING TAHUN 1951 CATAT HARGA LELONGAN RM3.6 JUTA

Sebuah motosikal lumba klasik, Vincent Black Lightning yang dihasilkan pada tahun 1951 dilapor telah memecahkan rekod lelongan motosikal sebelum ini apabila berjaya dilelong pada harga AS$929,000 (RM3.6 juta).

Menurut firma lelongan Bonham’s yang berpangkalan di Las Vegas, hanya terdapat 30 unit  Black Lightning dihasilkan. Namun, sejarah di sebaliknya yang membuatkan motosikal ini dapat dijual pada harga begitu tinggi.

Black Lightning berwarna hitam tersebut pernah dimiliki oleh empat individu. Jentera milik pelumba Jack Ehret itu berjaya mencatat rekod kelajuan 227km/j di Australia. Ehret memberitahu, motosikalnya berada di podium dalam 80 peratus perlumbaan yang disertai selama 40 tahun.

Dibina berdasarkan kepada model superbike Black Shadow buatan Vincent Motorcycle’s, Black Lightning ialah versi yang mendapat talaan khas. Enjinnya mampu menjana kuasa mencecah 70hp dengan berat hanya 163kg.

Sebagaimana yang boleh dilihat, jentera tersebut tidak direstorasi dan mempunyai jarak perbatuan cuma 8,000km, kebanyakannya kerana berlumba.

Vincent Black Lighting dijual pada tahun 1948 dan dikilangkan oleh Vincent di Stevenage, England. Dibina sehingga tahun 1952, ia merupakan motosikal paling laju pada zamannya.

Jentera itu menggunakan enjin OHV, motor v-Twin dengan sistem penyejukan udara bersesaran 998cc. 

Rekod lelongan motosikal paling mahal sebelum ini dipegang oleh model Cyclone tahun 1915 milik pelakon Steve McQueen yang dijual pada harga AS$775,000 (RM3.03 juta). 

Google ads
Back to top button