Buletin

VINFAST BELI LITAR UJIAN LANG LANG MILIK GM HOLDEN DI AUSTRALIA

Bagi sebuah syarikat yang baru mula menghasilkan kereta pada Julai tahun lalu, perkembangan VinFast sememangnya sangat pantas. 

Pengeluar kenderaan dari Vietnam itu kini sudahpun mempunyai tiga model untuk dipasang di kilangnya di bandar pelabuhan utara Hai Phong.

Model-model itu ialah sedan Lex A2.0 yang dibina berasaskan kepada BMW 5 Series F10, SUV Lex SA2.0 (BMW X5 F15) dan kereta bandar Fadil, jentera rebadge Opel Karl. 

VinsFast juga dilapor sedang membangunkan sebuah SUV elektrik yang dilihat bakal mempercepatkan pelan pengembangannya ke pasaran Amerika Syarikat bermula tahun 2021. 

Baru-baru ini, VinFast telah menandatangani satu perjanjian dengan GM Holden untuk membeli litar ujian Lang Lang Proving Ground di Victoria, Australia.

Perjanjian itu dimeterai pada minggu lalu dan menjadi sebahagian daripada usaha pengembangan VinFast ke peringkat antarabangsa. Aspek penyelidikan dan pembangunan automotif global juga akan dilakukan di sana. 

Memiliki keluasan 872 hektar, Lang Lang yang dinaik taraf pada tahun 2018 merupakan antara pusat ujian kenderaan paling tua dan moden di dunia.

Ia mempunyai lebih 44 kilometer litar ujian berturap dan tidak berturap yang meniru semua jenis laluan, serta trek bulat bertebing berkelajuan tinggi. 

Selain kemudahan ujian luaran, Lang Lang turut dilengkapi sebuah maklmal emisi baharu yang didakwa mematuhi standard pusat ujian bertaraf dunia. 

VinFast tidak mendedahkan angka sebenar pembeliannya itu. Sebagai sebahagian daripada perjanjian, GM Epscialty Vehicle akan dibenar untuk terus mengakses Lang Lang bagi tujuan ujian dan pengesahan kejuruteraan.  

Google ads
Back to top button