
FORD PATENKAN NAMA SKYLINE DI AMERIKA. TROLL KE APA NI?
Nama Skyline sememangnya sangat sinonim dengan Nissan. Popularitinya menyebabkan ada sahaja pengeluar, terutama dari China menggunakan Skyline sebagai nama produk keluaran mereka.
Terkini, Ford dilapor telah mempatenkan nama Skyline dengan Pejabat Paten dan Tanda Dagang Amerika. Pemfailan bertarikh 12 Julai dalam kategori “Motor dan kenderaan darat seperti SUV, trak dan automobil” itu dikesan oleh pihak Ford Authority.
Sama ada Ford akan menggunakan nama Skyline pada model atau varian baharu, masih belum dapat dipastikan. Kemungkinan Ford nak troll Nissan pun ada juga.
Nama Skyline mula digunakan oleh pengeluar kenderaan berskala kecil Jepun, Prince Motor Company untuk sedan saiz sederhana keluarannya. Pada tahun 1960-an, Prince memasang enjin enam silinder untuk menggantikan enjin empat silinder, sekali gus menjadikan sedan itu lebih berkuasa.

Prince dan Nissan bergabung pada tahun 1966. Model Skyline diteruskan dan dibangunkan menjadi model lagenda Skyline GT-R. Ia merupakan model paling lama yang dihasilkan oleh Nissan dan menjadi sebahagian daripada budaya Jepun.
Namun, pada awal tahun ini, timbul laporan bahawa Nissan akan menguburkan nama Skyline, sebelum khabar angin itu disangkal oleh seorang ekskutif kanan Nissan.
Ford tidak pernah menggunakan nama Skyline. Tetapi ia ada menggunakan nama Skyliner pada beberapa model sekitar tahun 1950-an. Ini termasuklah model Crestline Skyliner, Crown Victoria Skyliner dan Galaxie Skyliner.
Di pasaran Amerika, Nissan Skyline dijual sebagai Infiniti Q50. Memandangkan nama-nama ikonik seperti Skyline mula mendapat perhatian pengeluar lain, Nissan mungkin sudah perlu mematenkan nama Silvia, Patrol, Bluebird dan sebagainya.