
HONDA BANGUNKAN ENJIN ‘4-DAPUR’ 500CC DI CHINA
Pada penghujung tahun 2023, Honda membuat pengumuman besar apabila mendedahkan telah menubuhkan syarikat baharu di China pada dengan nama Honda Motorcycle (Shanghai) Co..
Syarikat itu mempunyai satu tujuan, mengukuhkan jualan Honda di negara itu yang kebelakangan ini merekodkan peningkatan mendadak.
Menurut Honda, syarikat berpangkalan di Shanghai itu akan memulakan operasi pada 1 April 2024.

Bagaimanapun, Honda Motorcycle Shanghai akan beroperasi secara bebas dengan hala tuju dan keputusan perniagaan tidak akan ditentukan Honda Motor Co. Ltd (China) Investment. Jelas Honda, langkah itu diambil bagi memastikan syarikat baharu itu dapat memenuhi kehendak pelanggan di China dengan lebih cepat.
Langkah drastik itu diambil ekoran jualan motosikal berkapasiti sederhana hingga besar (200cc ke atas) dijangka melangkaui 800,000 unit setahun sekaligus menjadikan China negara kedua terbesar bagi motosikal.

Sehubungan itu, laporan terbaru mendedahkan Honda akan memperkenalkan model serba baharu pada tahun 2025 yang akan dikuasakan enjin 4-silinder 500cc yang dibangunkan sepenuhnya di China dan akan dijual di pasaran negara itu.
Menariknya, Honda akan turut perkenalkan versi 400cc dan akan dijual di pasaran Jepun sebagai CB400 generasi baharu. Namun, buat masa ini tidak dapat dipastikan sama ada versi 500cc atau 400cc yang akan jual di pasaran global termasuk Malaysia.
Untuk rekod, Honda telah pun menghentikan pengeluaran CB400 Super Four pada tahun 2022 susulan peraturan ketat pelepasan emisi yang dikuatkuasakan di kebanyakan pasaran utama dunia.







