Modifikasi

MODIFIKASI RETRO: VOLVO 245 WAGON TURBO

Antara kereta wagon yang cukup popular di Amerika Syarikat satu masa dulu pastinya Volvo. Jenama ini memang diyakini dari aspek keselamatannya. Jadi bagi mereka yang berkeluarga, keselamatan ahli keluarga menjadi keutamaan. 

SONY DSC

Di Malaysia, lain pula ceritanya. Kalau anda membesar sezaman dengan saya,  kereta keluarga pilihan rakyat Malaysia ialah van bertingkap (window van).

Ramai antara kawan-kawan saya yang bapa mereka menggunakan van Ford Econovan, Mazda Bongo, Toyota Liteace dan Nissan Vanette. Penjualan kereta wagon sememangnya agak kurang. Walaupun banyak juga pengeluar kereta masa tu menjual kereta wagon ke pasaran Malaysia.

SONY DSC

Zaman sekarang? Sudah tentulah rakyat Malaysia menggemari MPV. Jadi, kereta wagon terus tenggelam.

Namun, tidak dapat dinafikan kereta wagon ada peminatnya yang tersendiri. Bukan semua orang perlukan kereta yang mempunyai banyak tempat duduk, tetapi mahukan ruang kargo yang besar. Tidak ada kenderaan yang mempunyai ruang kargo yang lebih besar daripada Volvo 245.

SONY DSC

Nak jumpa sebuah di Malaysia sekarang memang susah, apatah lagi kalau dah direstorasi sepenuhnya macam ini. Volvo kebanggaan Rajkumar atau RK ini boleh dikategorikan antara yang terbaik pernah saya jumpa. Ubah suainya masih mengekalkan imej kereta Volvo klasik. Pada masa yang sama diremajakan untuk pemanduan di abad ke-21.

Ubahsuai pertama adalah di bahagian enjin. Volvo 245 ini berkongsi enjin yang sama dengan Volvo 240, iaitu enjin B230F 2.3 liter karburator tunggal yang menghasilkan 114bhp.

SONY DSC

Bagi memudahkan kerja naik taraf, enjin B230FT dipilih bagi menggantikan enjin asalnya. Enjin dengan pengecas turbo tekanan rendah ini menghasilkan kuasa 135hp. Memang kedengaran agak rendah, tetapi enjin ini terkenal dengan kuasa tork yang baik dan turbo lag hampir tidak terasa. Ye lah, kalau setakat nak bawa keluarga dan barang, tak perlu enjin berkuasa terlalu tinggi.

Enjin daripada half-cut Volvo 940 tak diusik banyak, kecuali penapis udara diganti dengan penapis udara HKS Super Power Flow dan pam bahan api dinaik taraf kepada pam Walbro.

BACA – MITSUBISHI SPACE WAGON-MPV MAMPUMILIK

BACA – TOYOTA SEG WAGON, RARE!

Kotak gear Volvo 940 disalin sekali kepada badan 245, termasuklah gandar belakang yang saya baru tahu rupa-rupanya ada LSD. Sistem gantungan, bahagian Volvo yang paling lembik diubah suai dengan cara lama. Senang sahaja, penyerap hentak asal diisi minyak dan pegas gegelung dipotong. Secara automatik, kereta direndahkan dan pengendalian kereta terasa lebih baik. Kalau anda pernah pandu Volvo siri 240, tahulah kereta ini rasa macam naik bot, membuai tak ingat!

SONY DSC

Penyeri Volvo klasik ini sudah tentu rimnya. Walaupun pemiliknya sendiri tak kenal rim jenama apa, tetapi rim aloi 18 inci gaya two-piece ni memang kena dengan bentuk badan bersegi-segi Volvo. Tayar yang digunakan ialah Nueton bersaiz 235/45/18 di depan dan 255/40/18 di belakang. Brek? Standard 245.

BACA – LANCER EVO 9 WAGON

BACA – BELI OPEL WAGON PERCUMA SPENDAR?

Masalah besar Volvo siri 240 adalah pemilihan bodykit. Agak susah nak cari bodykit yang sesuai dengan kereta yang diibaratkan seperti seketul batu-bata. Nasib baik RK bijak menyesuaikan bodykit. RK mengacukkan bodykit asli Volvo 850 Wagon untuk bahagian bampar depan, skirting sisi dan bampar belakang. Memang nampak menarik. Cat yang dipilih ialah hitam BMW 5 Series.

SONY DSC

Di bahagian dalam, sepasang kerusi separa bucket menggantikan kerusi asal.  Stereng gaya VIP Mafia Design pula menggantikan stereng asal Volvo. Tempat duduk belakang dibalut dengan kulit gaya sebuah kereta mewah. Meter boost dan turbo timer HKS dipadankan ke dalam ruang kokpit sebagai aksesori wajib sebuah kereta berkuasa turbo.

Saya rasa, kelebihan besar menggunakan kereta wagon seperti ini adalah ubah suai sistem hiburan dalam kereta. Volvo 245 ini dilengkapi pemain utama JVC dan pembesar suara JBL. Sistem amplifier yang digunakan ialah Alpine. Ruang kargo yang besar di belakang diletakkan sebuah subwoofer Ameron di dalam perumah custom.

SONY DSC

Sememangnya kereta wagon dari Sweden ini dah memikat hati saya. Ini membuktikan kereta wagon selain daripada Nissan AD Resort wajar diberi perhatian oleh kaki-kaki modifikasi tempatan.

Bukan sahaja nampak cantik, kereta ini jugak boleh dipandu balik kampung. Setakat durian dua tiga bakul, tiada masalah nak angkut! 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button