Buletin

VW CADDY 2020 – VAN BARANG ATAU MPV? 2-2 PUN BOLEH!

Dalam mengikuti perkembangan Volkswagen, boleh dikatakan syarikat itu mempunyai banyak perkara yang perlu dibuat.

VW sekarang ini sibuk membangunkan siri kereta elektrik I.D, pada masa sama melancarkan Golf baharu dan kemudian Golf GTI. Dalam pada itu, VW mahu melancarkan van Caddy baharu bulan depan.

Jadual dan program VW sememangnya padat. Caddy yang berada di bawah Volkswagen Commercial Vehicles ini adalah generasi kelima yang dibangunkan baharu sepenuhnya.

Kata VW, satu skru pun tidak ditinggalkan untuk disentuh.

VW Caddy Panel Van 2017

Caddy baharu ini berada dalam segmen A dan menariknya dibangunkan untuk tujuan komersial dan MPV keluarga. Maknanya untuk hantar barang pun boleh, bawa keluarga pun okay.

Memandangkan Caddy dibina untuk dua tujuan utama, reka bentuknya mempunyai unsur sporti dengan bumbung yang sedikit melengkung ke belakang.

Bahagian depan pula mempunyai pengaruh Golf yang sporti berbanding rekaan konvensional pada van komersial. Bahagian belakang dilengkapi lampu slim dan bentuk menegak.

VW Caddy Panel Van 2017

Satu kelengkapan menarik untuk versi penumpang ialah bumbung panoramik. Saiznya sangat dominan sehingga VW mendakwa ia adalah yang terbesar dalam segmennya.

VW jelas dalam membangunkan Caddy ini, selain pemilik perniagaan, ia disasarkan kepada peminat sukan dan mempunyai gaya hidup aktif.

Selain tampil dengan ciri praktikal dan sporti, VW melengkapi Caddy dengan teknologi bantuan pemanduan yang semakin banyak digunakan untuk kenderaan sekarang.

Caddy juga sentiasa berhubung (connected) dan membolehkan pelbagai khidmat real time dapat ditawarkan.

Perkongsian awal oleh VW ini sebenarnya begitu menarik, ia bukan sahaja disasarkan kepada dua kategori pengguna berbeza tetapi turut membawakan teknologi canggih masa kini.

Kedua-dua versi Caddy komersial dan MPV keluarga akan dipertontonkan kepada awam pada penghujung Februari depan dan ciri penuh nampak menarik untuk diketahui.

Google ads
Back to top button