PADA 1974 VW GOLF MK1 DIPERKENAL, MODEL IKONIK SAMPAI SEKARANG
Volkswagen adalah satu jenama hebat, sejak pengenalan Beetle sampai kepada era Arteon ada saja model keluarannya yang sentiasa meniti di bibir peminat.
Satu model yang sinonim dengan VW adalah Golf. Kereta hatchback ini dari segi penampilan biasa-biasa saja dan bukan direka untuk bertanding di dalam anugerah berprestij. Ia sebenarnya direka bagi menggantikan Beetle.
Golf adalah sebuah kereta praktikal dan VW bijak mempelbagaikannya dari model biasa kepada varian mesra alam GTE sehingga kepada garang seperti Golf R.
Apakah sejarah di sebalik model ikonik ini? Volkswagen Golf generasi pertama (Mk1) dikeluarkan pada Mac 1974 di kilang yang terletak di Wolfsburg, Jerman dan mula sampai ke pengedar pada Mei tahun sama.
Jika sebelum itu Beetle begitu popular selama berpuluh tahun dengan bentangan enjin dan pacuan belakang, era enjin dan pacuan depan pula bermula dengan Golf Mk1.
Walaupun begitu, Golf bukan model pertama dengan konfigurasi depan, ia dimulakan oleh Scirocco dan Passat pada tahun 1973. Keistimewaan Golf sebenarnya terletak pada populariti dan jumlah jualan yang berlipat kali ganda.
Golf Mk1 dibangunkan oleh Giorgetto Giugiaro dan idea beliau begitu berjaya. Sebagai pengganti Beetle yang telah dikeluarkan lebih daripada 21.5 juta unit, Golf mempunyai ruang besar untuk dipenuhi dan ia berjaya melepasi sasaran tersebut.
Tanda kejayaan mutlak ialah jumlah produksi yang kesejuta unit berjaya dicapai dalam tempoh singkat iaitu pada Oktober 1976. Angka tersebut lebih lima dekad lalu adalah sesuatu yang sangat besar.
Kempen VW tentang Golf pada masa itu mudah sahaja. VW hanya mengatakan Golf menawarkan ruang dan keselamatan yang boleh digunakan secara maksimum.
Golf dibina untuk praktikaliti. Garis badan yang rendah membolehkan pemandu melihat dengan jelas dan bonet yang condong ke bawah memberi jaminan bahawa bahagian depan kereta mudah di lihat.
Cermin belakang yang rendah pula menjadikan tugas mengundur sangat mudah. Ciri-ciri yang dinyatakan itu sebenarnya masih terpakai pada Golf hari ini.
Satu lagi karakter Golf sejak dari generasi pertama ialah ia merupakan refleksi kepada kemajuan teknikal dan trend automotif pada masa itu.
Sebagai contoh, VW mula menjadikan segmen Golf lebih dinamik melalui Golf GTI generasi pertama pada 1976. Pada 1979, VW memperkenalkan Golf Cabriolet dan dalam beberapa ketika menjadi model terlaris dunia.
Pengenalan tersebut ibarat suntikan segar di dalam segmen Golf yang turut dikenali sebagai Golf Klasse (kelas).
Apakah lagi indikator kejayaan Golf Mk1? Termasuk kesemua varian seperti Cabriolet dan Jetta, sebanyak 6.99 juta unit telah terjual di peringkat global dan Golf telah dibuktikan ia adalah pengganti berjaya untuk Beetle.
VW Golf – Bermula dengan tanggungjawab besar, tampil ringkas dan terus popular sehingga kini dan menjadi idaman ramai orang tidak kira sama ada anda pensyarah, pegawai, graduan mahu pun belia remaja.
Berikut ialah catatan penting di dalam sejarah VW Golf Mk1:
1974:
Pengenalan pertama
1976:
Unit ke-500,000 pada Mac
Unit ke-1,000,000 pada Oktober
Golf GTI pertama
Golf diesel pertama
1978:
Unit ke-2,000,000 pada Jun
Pengenalan Golf ke pasaran Amerika Syarikat dengan nama Rabbit pada Julai
1979:
Unit ke-3,000,000 pada September
Golf Cabriolet pertama
Pengenalan van Caddy
Facelift
1982:
Unit ke-5,000,000 pada Februari
Golf pertama dengan enjin turbo diesel (GTD)
1983:
Generasi pertama ditamatkan di Eropah barat dengan pengeluaran mencecah 6.99 juta unit
BACA: MAAF, LAMBORGHINI BUKAN UNTUK DIJUAL – VOLKSWAGEN