MAVERICK VINALES SAMBUNG KONTRAK 2 TAHUN LAGI DENGAN PASUKAN FACTORY YAMAHA
Yamaha Motor Co., Ltd. semalam mengumumkan bahawa pelumba Maverick Vinales telah menandatangani kontrak selama dua tahun lagi dengan pasukan Yamaha Factory Racing MotoGP.
Kontrak itu adalah untuk musim MotoGP 2021 dan 2022. Kontrak Vinales disambung selepas Yamaha dilihat berpuas hati dengan gaya tunggangan, movivasi dan prestasinya yang konsisten. Pelumba itu membantu Yamaha menduduki tempat ketiga keseluruhan pada tahun 2017, posisi keempat pada 2018 dan sekali lagi di tempat ketiga pada tahun lalu.
Pelumba Sepanyol itu juga berjaya mencatat enam kemenangan dan 19 podium. Ini termasuklah dalam perlumbaan debut bersama Yamaha dan kemenangan GP yang ke-500 Yamaha di Le Mans pada tahun 2017.
Pencapaian memberangsangkan itu membuatkan Yamaha yakin untuk terus mendapatkan khidmat pelumba berusia 25 tahun tersebut.
“Saya sangat gembira kerana dapat kembali bersama seperti pasukan sendiri. Ini merupakan tahun kedua saya bekerja dengan krew yang sama, sebelum ada dua tahun lagi untuk meneruskan cabaran. Saya sangat teruja! Saya fikir jika kami terus berusaha, kami berada di landasan yang betul untuk berjaya.
“Pengumuman yang dibuat sebelum musim baharu bermula sangat penting kerana saya kini sangat bermotivasi dan mahu fokus sepenuhnya untuk tahun 2020. Saya juga tidak mahu terlalu memikirkan tentang masa depan.
“Tidak ada sebab kenapa saya tidak mahu bersama Yamaha kerana sudah berasa seperti sebuah keluarga besar. Yamaha memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Sasaran kami adalah untuk menjadi juara dunia dan membawa nama Yamaha ke kedudukan nombor satu.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yamaha atas kepercayaan ini dan saya akan terus berusaha keras,” kata Vinales.