![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2020/01/Ducati-Scrambler-1100-Sport-PRO-2020-mekanika2.jpg)
SCRAMBLER DUCATI 110 PRO & SPORT PRO 2020. SUSPENSI OHLINS, CORNERING ABS
Sejak dilancarkan pada tahun 2014, Scrambler dilihat cukup popular dalam kalangan pengguna yang mahukan sebuah motosikal bergaya retro, tempat duduk rendah dan berprestasi tinggi.
Bagi memenuhi apa jua kehendak pelanggan, Ducati menawarkan sepuluh varian Scrambler dengan pilihan enjin 1100cc, 800cc dan 400cc yang diambil daripada model-model lama seperti Monster serta Hypermotord.
Kini, Ducati memperkenalkan dua lagi model terbaharu dalam rangkaian Ducati Scrambler 1100 yang dikenali sebagai 1100 PRO dan 1100 Sport PRO.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2020/01/Ducati-Scrambler-1100-Sport-PRO-2020-mekanika4.jpg)
Secara ringkasnya, kedua-dua jentera itu menerima beberapa penambahbaikan.
Antaranya ialah pelekat, ekzos berkembar pada bahagian kanan dan kemasan tempat duduk baharu. Selain fender belakang lebih pendek dan pemegang nombor plat yang rendah, dekat dengan swingarm.
Menurut Ducati, biarpun tampil dengan reka bentuk original, 1100 PRO dan 1100 Sport PRO menjanjikan lebih keseronokan kepada penunggang.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2020/01/Ducati-Scrambler-1100-Sport-PRO-2020-mekanika1.jpg)
Varian 1100 PRO menyerlah dengan skim warna Ocean Drive yang dipadankan bersama kerangka besi Trellis dan sub kerangka belakang aluminium berwarna hitam.
Sementara 1100 Sport PRO dipasang dengan suspensi Ohlins, bar hendal lebih ke bawah dan cermin sisi cafe racer. Karekter garang itu lebih jelas dengan penggunaan warna hitam matte.
Tiada perubahan dibuat pada enjin berkuasa 86hp dan tork 88Nm itu. Kedua-dua jentera itu juga dilengkapi sistem kawalan cengkaman dan Cornering ABS yang sensitif dengan sudut baringan buatan Bosch.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2020/01/Ducati-Scrambler-1100-Sport-PRO-2020-mekanika5.jpg)
Tiga mode tunggangan iaitu Active, Journey dan City boleh dipilih mengikut kesesuaian.
Bakal berada di pasaran United Kingdom mulai Mac 2020, 1100 PRO ditawarkan pada harga £11,295 (RM59,923). Manakala 1100 Sport PRO pula berharga £12,795 (RM67,888) seunit.