Buletin

ROSSI SAH SERTAI PETRONAS YAMAHA SRT MUSIM 2021

Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi mengesahkan penyertaannya bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) bagi perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) musim 2021.

Pengumuman dinanti-nantikan itu muncul menjelang GP Catalan di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol minggu ini, menyaksikan pelumba dikenali dengan jolokan ‘The Doctor’ itu kekal menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 untuk tempoh sembilan musim berturut-turut tahun depan.

Pelumba kelahiran Itali itu akan bergandingan dengan rakan senegaranya Franco Morbidelli.

Rossi menjadi satu-satunya pelumba yang memenangi saingan 125cc, 250cc, 500cc dan kejuaraan MotoGP menyaksikan dalam saingan kelas perdana sahaja.

Beliau turut melakar tujuh kejuaraan dunia, 89 perlumbaan, 199 podium, 55 petak utama dan 76 catatan sepusingan terpantas.

Sementara itu, prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata ia adalah satu penghormatan buat SRT dan pasukan mengalu-alukan pelumba ikonik dan legenda ini menyertai pasukan itu.

“Pengalaman beliau adalah aset terbaik buat pasukan yang memasuki musim ketiga dalam saingan MotoGP dan kami yakin banyak boleh dipelajari daripada beliau.

“Pada masa sama, kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu beliau terus kompetitif sebagai penghargaan atas kepercayaannya kepada pasukan ini.

“Kami berbesar hati dengan peluang ini dan bersedia menyahut cabaran. Kami percaya kombinasi antara Rossi dan Morbidelli mampu menggegar litar dan membantu kami bersaing sebaik mungkin musim depan,” katanya dalam kenyataan,

Sejak membuat penampilan sulung di Qatar pada 2019, SRT berjaya meraih enam kedudukan utama dan tujuh kemenangan.

Selain itu, SRT turut memenangi ‘Independent Teams’ Championship’ pada tahun lalu.

Bagi musim ini, pasukan berjaya meraih dua petak utama, empat podium dan tiga kejuaraan.

Google ads
"
"
Back to top button