Buletin

WRC 2020 – JADUAL PERLUMBAAN BAHARU

Setelah lama menanti, akhirnya perlumbaan World Rally Championship (WRC) 2020 mengesahkan jadual & venue baharu bagi menyambung semula kejohanan yang terhenti semenjak beberapa bulan yang lalu gara – gara pandemik Covid-19.

Perlumbaan pembukaan semula kalendar WRC 2020 dijangka berlangsung pada 4 – 6 September dengan Estonia bakal menjadi venue baharu. Tahun sudah Rali Estonia hanya berlangsung sebagai WRC Promotional Event tanpa melibatkan pungutan sebarang mata.

Sudah tentu dengan perkhabaran ini menggembirakan buat penyandang Juara Dunia, Ott Tanak yang bakal beraksi buat pertama kali dalam saingan pentas WRC sebenar di kampung halaman beliau. Apatah lagi, tahun sudah ketika perlumbaan pertunjukan tersebut turut berjaya dimenangi beliau yang mana ketika Toyota Yaris WRC menjadi jentera handalannya.

“Saya tahu ramai yang bekerja keras untuk acara, termasuklah Estonian Autosport Union. Dan ianya pasti menarik untuk memandu I20 WRC bersaing dengan pemandu WRC yang lain di laluan Estonia”, menurut Ott Tanak.

Estonian Autosport Union yang kini dipimpin oleh bekas Juara Dunia Ari Vatanen turut menzahirkan keterujaan beliau dengan perkhabaran ini.

Usai tamat perlumbaan di Estonia, pasukan WRC bakal bergerak pula ke Turki untuk pusingan berikutnya pada 24 – 27 September. Dan disusuli kemudiannya pada 15 – 18 Oktober untuk beralih pula berlumba di Jerman. Kalau tengok jadual, nampak macam agak padat juga jadual. Tak ada rehat.

Dan pada penghujung Oktober, tanggal 29 Oktober – 1 November, perlumbaan Rally Italia Sardegna bakal berlangsung setelah sepatutnya berlangsung pada bulan Jun yang lalu.

Penutup untuk kalendar WRC musim 2020 ini adalah mengikut jadual dengna Jepun bakal menjadi venue pada 19 – 22 November. Walau pun dengan jadual yang dikeluarkan sudah kelihatan agak padat, namun pihak WRC masih lagi berusaha untuk menyelitkan perlumbaan Belgium Ypres Rally pada 2 – 4 Oktober serta satu lagi perlumbaan di Croatia tanpa ada penetapan tarikh lagi.

Namun, sekiranya dua tambahan itu tidak berhasil, maka keseluruhan perlumbaan WRC 2020 ini akan terhad kepada lapan pusingan sahaja. Dengan tempoh lebih kurang dua bulan sebelum perlumbaan kembali bersambung, pasukan pasukan utama telah pun selesai menjalani latihan tertutup di Finland sebelum ini untuk kembali menguji jentera masing – masing. Mampukah Juara Enam Kali WRC, Sebastian Ogier mempertahan kedudukan pungutan mata beliau ketika ini?

BACA : WRC 2020 – TOMMI MAKINEN RAMAL SAINGAN 4 PENJURU

BACA : hRALLY ESTONIA 2019 – OTT TANAK HERO LOKAL MENANG

Google ads

B K

Back to top button