Buletin

GEELY HAO YUE RASMI DILANCARKAN. SUV 7 TEMPAT DUDUK. ENJIN 1.8TD, GKUI E01

Geely Auto baru-baru ini melancarkan secara rasmi SUV tujuh tempat duduk pertamanya, Hao Yue. 

SUV segmen D menandakan permulaan saingan Geely ke dalam pasaran yang sangat kompetitif dan kini didominasi jenama asing di China. 

Geely mahu mencabar pesaing sedia ada dengan menawarkan pelanggan pelbagai teknologi pintar dan rangkaian kuasa yang cekap pada harga kompetitif. 

Jentera itu dikuasakan oleh enjin 1.8TD yang dipadankan bersama kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. Ia juga dipasang dengan teknologi bantuan pemanduan Level 2.

Sebanyak 24 sensor membantu 17 ciri pemanduan pintar yang membolehkannya mengikuti, berhenti dan membelok pada kelajuan sehingga 150km/j. 

Sensor tersebut membolehkannya memarkir secara elektrik menggunakan satu butang sahaja, bersama pemandangan 360 darjah. 

Hao Yue direka menggunakan konsep ‘Expansive Aesthetic’ yang memberikan reka bentuk luaran yang maskulin. Ia menggabungkan aspek ruang dan fungsi dengan seimbang. SUV itu hadir dengan konfigurasi lima dan tujuh tempat duduk.

Tempat duduk baris belakang boleh dilipat rata yang boleh memuatkan sebuah tilam bersaiz king. Ruang kargonya boleh dikembangkan menjadi 2,360 liter untuk mengangkut apa sahaja barangan yang besar. 

Kedua-dua konfigurasi itu menawarkan ruang kaki yang selesa. Sehinggakan mereka yang berketinggian 1.9 meter pun boleh duduk dengan selesa tanpa perlu membuat sebarang larasan. Semua penyandar kerusi boleh dilaras demi keselesaan penumpang. 

Pelanggan boleh memilih konfigurasi tujuh tempat duduk VIP yang mana kerusinya boleh dilaras secara individu. 

Hao Yue dibina di atas konsep ‘kereta sihat’ Geely yang menyaksikan semua material digunakan menjalani ujian alam sekitar yang ketat dan 20 kali lebih tinggi berbanding standard China. Jadi, ia tidak mempunyai ‘bau kedai’ yang berbahaya. 

SUV itu dilengkapi sistem penapis udara gred N95 yang mampu menapis sehingga 99 peratus partikel PM2.5 dan 98 peratus titisan air yang mungkin mengandungi virus. Dengan sistem pendingin hawa tiga zon dan AQS, udara di dalam kabin boleh dibersihkan dalam masa kurang tiga minit. 

Ruang kabin disempurnakan lagi dengan sistem infotainmen GKUI Geely Smart Ecosystem yang menggunakan pemproses mikro kenderaan quad-core terkini Geely, E01. GKUI membolehkan pengguna berinteraksi dengan kenderaan menerusi bantuan suara kepintaran buatan (AI). 

Ekosistem itu juga diintegrasikan dengan pelbagai aplikasi IoT seperti rumah pintar  JD.com yang membolehkan pengguna memantau alat elektrik di rumah mereka di mana-mana sahaja.

Pengguna boleh berinteraksi dan mengetahui maklumat kenderaan melalui beberapa paparan berdefinisi tinggi seperti panel infotainmen bersaiz 12.3 inci, panel instrumen LCD dan head-up display. 

GALERI

Google ads
Back to top button