
WRC 2020 – SAH BAKAL BERSAMBUNG SEMULA DI FINLAND OGOS NANTI
Nampaknya petanda awal pemulihan kesan daripada serangan wabak Covid 19 mula kelihatan. Beberapa acara sukan yang terhenti kembali bersambung, seperti perlawanan Bundesliga yang berlangsung tanpa kehadiran penonton. Terkini, perlumbaan World Rally Championship (WRC) 2020 bakal memulakan aksi semula setelah terhenti beberapa bulan dengan destinasi di Finland bakal membuka kembali tirai pada 6 – 9 Ogos 2020 nanti.
Pengesahan mengenai khabar berita tersebut telah pun disahkan melalui portal rasmi WRC dan juga penganjur bagi memberikan lampu hijau bagi menyambung kembali saingan perlumbaan rali setelah terhenti semenjak kali terakhir berlangsung di Mexico pada bulan Mac yang lalu. Khabar berita gembira ini pasti dinantikan buat pelumba dan pasukan yang mana sebarang aktiviti pemegangan stereng terhenti sama sekali. Kalau ada pun, sekadar melayan eWRC di rumah masing – masing.
Bagi membuat persiapan untuk kembali beraksi di Nesta Rally Finland, penyandang juara WRC, Ott Tanak kembali ke memandu jentera rali dengan Hyundai R5. Pemandu kelahiran Estonia itu menguji sistem gantungan dan juga tetapan enjin terhadap Hyundai R5 di perkarangan Otepää, kampung beliau bagi membantu pasukan Hyundai Motorsport untuk meneruskan momentum kemenangan podium dalam kategori WRC2 berturut – turut sepanjang tiga pusingan awal kalendar kejohanan.
Sementara itu, Hyundai Shell Mobis juga bakal membariskan pelumba terhebat mereka untuk aksi di Finland dengan diketuai Ott Tanak, Thierry Neuville dan juga pelumba yang dipanggil semula untuk beraksi, Craig Breen. Keputusan Hyundai Shell Mobis untuk menyenaraikan semula pelumba kelahiran Ireland itu pasti didorongi atas faktor pengalaman luas yang dimiliki oleh Craig Breen.

Ini merupakan aksi yang kesepuluh buat beliau untuk beraksi di Finland. Keputusan terbaik yang pernah dicatat beliau di Finland adalah tempat ketiga empat tahun lalu dengan memandu jentera rali Citroen. Menariknya, Craig Breen hanya baru dua kali sahaja beraksi bersama Hyundai i20 WRC tetapi prestasi yang ditunjukkan jelas berupaya untuk memberikan saingan sengit kepada Thierry Neuville sebelum ini. Maka, sudah tentu pemilihan beliau untuk kembali beraksi diharapkan untuk memberikan pungutan mata berharga buat pasukan Hyundai.
BACA : WRC 2020- SEBASTIAN OGIER KEMBALI BANGKIT DI MEXICO
BACA : WRC 2020 – TOMMI MAKINAN RAMAL SAINGAN 4 PENJURU