Buletin

WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER JUARA DI MONTE CARLO

Pemandu handalan pasukan Toyota merangkap juara WRC 2020, Sebastian Ogier membuktikan kejaguhannya apabila muncul juara perlumbaan pembukaan musim WRC 2021 di Monte-Carlo. Kemenangan ini adalah yang kelapan buat lagenda dari Perancis dan telah memenanginya bersama lima Pembuat yang berbeza. Suatu rekod yang sememangnya bukan calang – calang.

Ternyata pengalaman yang ada pada Sebastian Ogier digunakan sepenuhnya untuk mengharungi laluan yang licin dan basah akibat salji yang meliputi laluan trek. Pasukan Toyota juga tampaknya gembira apabila podium kedua turut berjaya diraih seorang lagi pemandunya, Elfyn Evans yang ketinggalan 32.6 saat di belakang. Sudah tentu kemenangan 1 – 2 ini merupakan suatu permulaan yang baik buat Prinsipal baharu mereka, Jari-Matti Latvala. Entah apalah perasaan beliau, yang mana sebelum ini beliau sendiri pernah memandu jentera yang sama, tetapi kini hanya memerhati anak buah beliau sahaja beraksi sambil merencana strategi pasukan.

Pememang Monte-Carlo tahun sudah, Thierry Neuville terpaksa berpuas hati dengan podium ketiga keseluruhan setelah ketinggalan 1:13.5 di belakang Sebastian Ogier. Pun begitu, keputusan ini dianggap sudah cukup bagus memandangkan beliau hanya bergandingan dengan rakan Juruarah yang baharu Martijn Wydaeghe sehinggalah pada hari perlumbaan. Dan Thierry Neuville menaruh harapan agar hubungan yang baru dibina berkekalan hendaknya, demi kejayaan beliau bagi mengharungi onak dan duri WRC 2021 kelak.

Sementara itu, hasrat untuk melihat pasukan Toyota menyapu bersih podium berkecai sementelah pemandu muda dari Finland, Kalle Rovanpera yang ketika itu berada di tempat ketiga keseluruhan mengalami tayar pancit pada saingan hari Ahad pagi hingga membolehkan Thierry Neuville memintas beliau. Jika tidak pasti ianya akan menjadi hujung minggu yang paling sempurna buat pasukan Toyota Gazoo Racing.

Sementara itu, harapan Ott Tanak untuk terus beraksi cemerlang hingga ke akhir perlumbaan tidak kesampaian walaupun beliau berjaya mendahului di awal saingan setelah turut mengalami dua kali masalah tayar pancit. Ternyata itu membuatkan beliau tidak berupaya meneruskan saingan di akhirnya.

Kedudukan Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 30 Mata
  2. Elfyn Evans – 21 Mata
  3. Thierry Neuville – 17 Mata

Kedudukan Pembuat

  1. Toyota Gazoo Racing – 52 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 30 Mata
  3. M-Sport Ford – 10 Mata

BACA : SEBASTIAN OGIER MENJUARAI RALI MONTE CARLO BUAT KALI KEENAM BERTURUT

BACA : WRC 2018 MONTE CARLO – SEBASTIAN OGIER MUNCUL JUARA

Google ads

B K

Back to top button