Buletin

BMW CABUT PLUG i3 DI AMERIKA SYARIKAT BULAN DEPAN

BMW dijangka akan melancarkan model i4 dan iX pada awal tahun hadapan di Amerika Syarikat (AS).

Model yang bakal menjadi mangsa merupakan i3 apabila dilaporkan produksi dihentikan pada penghujung bulan hadapan.

Ia berikutan sambutan tidak menggalakkan di negara terbabit apabila terjual 1,508 unit sahaja pada tahun lalu.

Jualan model i3 agak lembab di AS selepas kemuncak jualan pada tahun 2015 dengan 11,024 unit.

Ia menurun sehingga mencecah 4,854 unit pada 2019 dan penularan pandemik memainkan peranan penurunan mendadak jualan pada tahun lalu.

Terdahulu, BMW pernah mencadangkan bahawa model i3 semakin menghampiri penghujung porduksi.

Pada musim luruh lalu, syarikat pengeluar itu mengumumkan pengganti MINI Countryman bakal memasuki produksi pada tahun 2023 dan dibina di kilang Leipzig yang merupakan lokasi pengeluaran i3.

BMW i3 mula dibangunkan di kilang berkenaan sejak tahun 2013 malah ramai beranggapan ia akan memberi ruang untuk pengganti MINI Countryman.

Bagaimanapun, dalam beberapa laporan, model i3 akan dikekalkan sehingga tahun 2024.

BMW i3 2021 dijual pada harga AS$44,450 (RM184,534) sebelum insentif dan dilengkapi motor elektrik yang mampu menjana kuasa 168 hp dan tork 149 Nm.

Ia berupaya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat dengan kelajuan maksimum 150 km/j malah bergerak sehingga 395 km pada sekali cas. – carscoops/motor1

Google ads
Back to top button