Buletin

WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MEMBUAT KEJUTAN DI RALLY ITALIA SARDEGNA

Pemandu pasukan Toyota yang juga juara bertahan World Rally Championship (WRC) 2020, Sebastian Ogier berjaya mencipta kejayaan kejutan di Rally Italia Sardegna pada hujung minggu lalu apabila berjaya muncul juara pada perlumbaan yang berlangsung di kepulauan Mediterranean.

Kejayaan Sebastian Ogier ini adalah yang ketiga sepanjang musim ini dan berjaya meletakan beliau sekali lagi sebagai pendahulu saingan setelah tamat 5 daripada 12 pusingan kalendar perlumbaan musim ini. Menariknya lagi, kejayaan berganda buat pasukan Toyota Gazoo Racing apabila berjaya mencatat kemenangan 1- 2 apabila seorang lagi pemandu mereka, Elfyn Evans berjaya menamatkan perlumbaan dengan ketinggalan 46 saat di belakang Sebastian Ogier.

Sesungguhnya Sebastian Ogier tidak menaruh harapan yang tinggi apabila beliau harus memulakan saingan terlebih dahulu selaku pendahulu pungutan mata. Apabila sang juara sudah buka laluan, sudah tentu laluan trek lebih lancar untuk dipecut oleh peserta yang berada kemudiannya.

Sepatutnya kejayaan menjadi milik buat pemandu pasukan Hyundai Shell Mobis, Ott Tanak yang kelihatan cukup selesa mendahului di awal saingan bersama – sama dengan seorang lagi rakan sepasukan, Dani Sordo. Cuma malang menimpa buat Ott Tanak apabila jentera i20 Coupe WRC beliau terlanggar bongkah batu dan akur untuk tidak menamatkan saingan.

Begitu juga nasib yang turut menimpa Dani Sordo apabila jentera beliau turut terbalik. Malang sungguh. Mujur juga Prinsipal si Andrea Adamo masih lagi tenang dan tidak mengamuk. Bukan rezeki kaedah dia sebenarnya bila jadi macam ni.

Maka, sudah tentu peluang yang terhidang pada hari Ahad, mudah untuk Sebastian Ogier menamatkan saingan sekali gus mencipta kemenangan buat kali ke 52 dalam kerjaya beliau di WRC.

Mujur juga seorang lagi pemandu pasukan Hyundai, Thierry Neuville berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dan masih berupaya mengutip mata untuk pasukan setidaknya. Apatah lagi pasukan Toyota Gazoo kini semakin jauh meninggalkan kutipan mata untuk terus unggul sebagai pendahulu bagi kategori Pengeluar dengan kelebihan 49 mata.

Kedudukan Pungutan Mata Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 106 mata
  2. Elfyn Evans – 95 mata
  3. Thierry Neuville – 77 mata

Kedudukan Pungutan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 231 mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 182 mata
  3. M-Sport Ford – 82 mata

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER MENANG DI CROATIA

BACA : WRC 2021 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI RALLY DE PORTUGAL

Google ads

B K

Back to top button