
WRC2 – SAMI PAJARI HEBAT DI BUMI SENDIRI SECTO RALLY FINLAND
Saingan kelas WRC2 sewaktu Secto Rally Finland baru baru ini juga tidak kurang hebatnya. Kali ini giliran buat pemandu tuan rumah, Sami Pajari untuk memenangi perlumbaan di bumi sendiri.
Sami Pajari, pemandu muda Finland yang berusia 21 tahun itu mempamerkan pemanduan yang konsisten untuk unggul di Secto Rally Finland ini. Beliau yang memandu jentera Škoda Fabia RS Rally2, yang disediakan oleh Toksport sebelum ini telah pun menamatkan saingan di atas podium sebanyak dua kali sebelum beraksi pada perlumbaan kesembilan tahun ini dan rezeki menjadi miliknya untuk menang kali ini.
Selamat empat hari perlumbaan Sami Pajari mempamerkan dominasi, setelah bangkit daripada masalah tayar pancit akibat daripada tusukan benda asing pada petang Jumaat dan merampas semula pendahuluan pada hari Sabtu apabila seorang lagi hero tuan rumah Jari Huttunen yang turut memandu jentera sama harus menamatkan saingan akibat daripada masalah teknikal
Dan di hari Ahad, Sami Pajari terus mengekalkan momentum untuk terus mendahului. Akhirnya beliau menamatkan saingan di podium pertama dengan kelebihan 33.8 saat dan berada di tempat ketujuh keseluruhan untuk meninggalkan pesaing terdekat Andrien Fourmaux di podium kedua yang memandu Ford Fiesta Rally2. Untuk rekod, Sami Pajari adalah pemenang WRC Junior pada tahun 2021.

Dengan kedudukan podium kedua ini yang diraih oleh Adrien Fourmaux ini bermakna adalah keputusan terbaik buat beliau dan pasukan M-Sport Ford musim ini bagi kategori WRC2.
Podium ketiga pula berjaya diraih Nikolay Gryazin yang turut memandu jentera Skoda ketinggalan 34 saat di belakang pemandu dari Perancis itu.

Selain daripada drama tayat pancit pada hari Sabtu, Andreas Mikkelsen, yang memandu jentera Škoda yang sana dengan Nikolay Gryazin, turut mengalami masalah dengan sistem suspensi dan juga brek. Namun pemandu yang berasal dari Norway itu berjaya mengekori rapat Nikolay Gryazin sebanyak 23.7 saat di tempat keempat. Andreas Mikkelsen mungkin berasa sedikit kecewa dengan keputusan itu tetapi beliau masih mendahului Yohan Rossel yang mana pemandu Perancis tersebut tidak memungut sebarang mata sekali.
Selain daripada itu, pemandu harapan Oliver Solberg yang memutuskan untuk tidak mengutip sebarang mata di Secto Rally Finland ini mungkin berasa sedikit kesal kerana sebenarnya beliau berjaya mendahului saingan dan berjaya berada di tempat kelima keseluruhan. Tak mengapalah, boleh mengutip mata untuk perlumbaan berikutnya kelak.
BACA : WRC2 – ANDREAS MIKKELSEN MUNCUL JUARA DI ESTONIA. OLIVER SOLBER PULA APA CERITA?
BACA : WRC2 – KEMENANGAN DRAMATIK BUAT ANDREAS MIKKELSEN DI RALLY ITALIA