
YAMAHA Y15ZR EDISI KHAS ULTRAMAN? – INI KOMEN YAMAHA MALAYSIA
Apa yang menarik tentang motosikal Yamaha di Malaysia ialah ia mendapat sambutan luar biasa bagi versi livery khusus. Anehnya, itu tak berlaku pada jenama motosikal lain.
Lihat sahaja Honda, versi Repsol-oren sebenarnya nampak lebih menyerlah berbanding Movistar-biru, namun kegilaan peminat Yamaha di Malaysia memang cukup aneh.

Hong Leong Yamaha Malaysia (HLYM), pemegang hak jenama motosikal Yamaha juga jarang sekali melakukan promosi khusus terhadap model livery edisi khas. Malah kalau dilihat di laman web mereka, tidak banyak kemaskini terhadap model edisi khas. Atau boleh dikatakan tak ada langsung. Mereka buat teknik pemasaran senyap barangkali.
Jika anda masih ingat, kami merupakan portal pertama yang menyiarkan berita secara rasmi Y15ZR versi Movistar 2016. Hanya selepas berita itu disiarkan barulah kami menerima foto rasmi dari HLYM.
YAMAHA Y15ZR EDISI ULTRAMAN
Semalam, tular foto Yamaha Y15ZR dengan grafik silver merah yang lengkap dengan tema watak Ultraman. Ramai yang berkongsi dan dari komen yang kami terima di laman facebook mekanika, sebahagian besar percaya ia adalah edisi khas Ultraman yang sebenar, apatah lagi dengan pelekat nombor siri seakan sama dengan edisi khas 125ZR Movistar yang pernah dikeluarkan pada penghujung produksinya.

Hari ini kami menghubungi Yamaha Malaysia (Hong Leong Yamaha Motor) untuk mendapatkan pengesahan. Menurut mereka, ini bukan keluaran HLYM. Ia dihasilkan oleh pengedar mereka secara sendirian.
Ia dibuat mungkin untuk menarik perhatian pengguna yang mahukan kelainan. Ia juga bukanlah sesuatu yang aneh kerana sebelum ini pun, terdapat pengedar mereka yang menghasilkan livery “ulangtahun ke-60” pada model FZ150i
Jadi, jelas, ia bukan model asli HLYM dan sebenarnya, kami tak terfikir pun HLYM akan keluarkan edisi sebegitu rupa kerana ia tidak signifikan langsung dengan cara pemasaran di sini.
GALERI