Artikel Pilihan

10 FERRARI HEBAT YANG BELUM TENTU BOLEH DIMILIKI WALAUPUN ANDA BERDUIT

Ferrari mempunyai satu sejarah unik iaitu dalam menghasilkan model keluaran istimewa yang memberi definisi sebenar edisi terhad. Sepanjang sejarah mereka, pelbagai model istimewa telah dikeluarkan dari pintu pagar Maranello antaranya ialah model edisi khas one-off, model istimewa untuk pelanggan istimewa yang ditempah khas dan banyak lagi. Ingat ini bukannya edisi terhad yang dikeluarkan secara besar-besaran tetapi ada yang cuma ada seunit sahaja.

Ferrari SP38

SP38 merupakan hasil ciptaan terbaru dan juga merupakan model one-off. Ada satu je tau, kalau rosak jangan buang masa nak cari bodypart kat kedai potong. Ia diasaskan daripada model Ferrari 488 dan dihasilkan khusus untuk pelanggan paling setia mereka. Malangnya Ferrari enggan mendedahkan siapa. Adakah Abang Japar? Mungkin tidak.

Kebanyakan idea dalam menghasilkan SP38 ini diambil dari dunia perlumbaan termasuklah bahagian belakangnya yang diinspirasikan daripada model ikonik Ferrari F40. Secara mekanikalnya pula ia bersamaan dengan 488 GTB  yang menggunakan enjin 3.9-liter turbo berkembar V8 yang mampu menghasilkan 660 hp menggunakan gear automatik klac berkembar.

Ferrari 458 MM Speciale

Satu lagi Ferrari model one-off ialah 458 MM Special yang dikeluarkan pada tahun 2016. Sekali lihat dari jauh macam Ford GT pun ada. Ia dihasilkan daripada model 458 Speciale dan mempunyai beberapa ciri custom contohnya bahagian bumbung yang menyerupai Ferrari GTO 1984. Catnya pula adalah berwarna putih Bianco Italia lengkap dengan jalur bendera Itali dan skup udara sisi unik yang kemudiannya dilengkapkan pada 488 GTB.

Ferrari F12 TRS

Dua unit model ini dihasilkan di bawah program Ferrari Special Project. Dihasilkan sepenuhnya oleh Ferrari dan diasaskan dari model F12 Berlinetta. Model dengan bumbung terbuka GT barchetta ini mengambil inspirasi daripada model Testa Rossa 250 1957. Ia kemudiannya disesuaikan dengan gaya yang lebih kontemporari.

Istimewanya F12 TRS ialah walaupun ia dihasilkan untuk seorang pemilik bertuah, ianya sering muncul di pameran kereta serata tempat. Malah ia pernah muncul memecut mendaki laluan berbukit di Goodwood Festival of Speed. Bukan itu sahaja, ia merupakan sebuah model one off yang sering berevolusi dengan penampilan modifikasi badan yang berbeza setiap kali ia muncul.

BACA: FERRARI SP38 – UNIT TEMPAHAN KHAS DAN 1 UNIT SAHAJA DI DUNIA

Pininfarina Sergio

Jarang sekali dapat kita lihat Ferrari yang tidak cantik pada dekad ini tetapi bila Pininfarian Sergio ditampilkan buat pertama kali pada tahun 2013 ia mengundang pelbagai persepsi. Model yang diasaskan daripada model 458 Spider ini kemudian dikeluarkan sebanyak 6 unit pada tahun 2015 dan ramai menyedari yang ia sebuah model yang menawan. Dihasilkan untuk memperingati Sergio Pininfarina selepas kematiannya, 6 unit model ini sentiasa muncul di pasaran dengan harga yang sentiasa melangit. Kali terakhir ia muncul harganya ialah sekitar USD5juta!

Ferrari 512tdf

Inilah model terakhir yang dijelmakan dari F12 Berlinetta dan menjadi pemangkin kepada pengeluaran 802 Superfast. Ia dinamakan sempena perlumbaan automobil Tour de France di mana Ferarri pernah memenanginya selama beberapa kali. Ia menggunakan enjin 6.3-liter V12 yang mampu menghasilkan 769 bhp kuasa dan 110 kg lebih ringan berbanding F12 Berlinetta. Dihasilkan sebanyak 799 unit seluruh dnia dan ia menjadi buruan ramai pengumpul di luar sana.

Ferrari F60 America

Ia dihasilkan khusus untuk memperingat ulangtahun Ferrari di AS. Model ultra terhad F12 Berlinetta ini dikenali dengan nama F60 America dengan 10 unit dihasilkan dan semuanya dijual dengan harga USD2.5 juta. Menggunakan enjin yang sama dengan model asal tetapi kini tanpa bumbung untuk membolehkan pemilik menikmati bunyi enjin V12 sepenuhnya. Ia juga berwarna biru dengan garisan putih yang menyamai warna jentera perlumbaan North American Racing Team Luigi Chinnetti.

Ferrari SP12 EC

Eric Clapton memang satu nama besar dalam industri hiburan tetapi ramai tidak mengetahui yang Clapton merupakan salah seorang peminat mati keras Ferrari. Beliau juga pernah memiliki model 365 GT4 BB dan menempat SP12 EC ini dengan kos USD4.7 juta pada tahun 2012. Ia diasaskan daripada model 458 Italia  dan pernah muncul di hadapan khalayak umum beberapa kali termasuk di Goodwood Festival of Speed.

Ferrari GG50

Diasaskan daripada model 612 Scaglietti, GG50 bukanlah merujuk kepada ulangtahun ke-50 majalah Gila-Gila. Ia sebenarnya dihasilkan sempena ulangtahun ke-50 pereka terkenal Giorgetto Giugiaro terlibat dalam industri automotif. Ia adalah hasil lakaran Giugiaro sendiri dengan inspirasi dari dunia F1. Ia menggunakan enjin V12 yang mampu menghasilkan 540 hp dan dipadankan dengan kotak gear automatik.

Ferrari P4/5 by Pininfarina

Ini sebuah model istimewa yang diasaskan daripada model Ferrari Enzo dan diserahkan kepada Pininfarina untuk modifikasi oleh pemiliknya, pengarah filem ternama James Glickenhaus. Ia merupakan Enzo terakhir yang dihasilkan dan sedikit lebih berkuasa berbanding Enzo standard.

Ferrari J50

Ia merupakan sempena ulangtahun kelahiran Abang Japar ke-50. Okey itu tipu. Lebih tepat lagi ialah ia sempena ulangtahun ke-50 Ferrari masuk ke pasaran Jepun. Diasaskan daripada model 488 Spider tetapi dengan penambahan 20 hp kuasa berbanding Spider standard. J50 juga mempunyai beberapa persamaan dengan F40 dan F50 yang memang menjadi inspirasi dalam menghasilkannya.

Google ads
Back to top button