Buletin

10 TAHUN MITSUBISHI i-MiEV, SAKSI KECEKALAN MMC TANPA LANCER EVO

Pada 5 Jun 2019, genap sepuluh tahun usia pelancaran Mitsubishi i-MiEV, kereta elektrik massa yang hadir pada masa teknologinya masih tersangat baru di kalangan pengguna dan industri.

Nama ringkas i-MiEV merujuk kepada Mitsubishi Innovative Electric Vehicle dan ia benar-benar membuka mata bahawa kereta elektrik boleh dipasarkan untuk pengguna umum.

Tambahan pula EV ini hadir daripada Mitsubishi yang masih pada skala sederhana berbanding jenama antarabangsa lain.

Usaha Mitsubishi memperkenalkan i-MiEV berbaloi apabila ia digunakan oleh kerajaan di banyak buah negara dan juga sebagai teksi dan khidmat sewaan kereta.

Perjalanan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) dalam bidang EV memang panjang iaitu dari tahun 1966 lagi.

i-MiEV yang masih dijual sehingga hari ini adalah produk kepada penyelidikan dan pembangunan 50 tahun tersebut.

i-MiEV terbukti sebuah kenderaan yang berguna apabila di dalam keadaan bencana alam dan bekalan petrol berkurang ia masih boleh digunakan.

Satu keadaan di mana i-MiEV menunjukkan fungsian yang baik ialah semasa gempa bumi besar melanda Jepun pada tahun 2011.

MMC dengan pantas memperkenalkan MiEV Power Box setahun lebih awal daripada jadual.

Teknologi yang dikenali sebagai Vehicle-to-Home (V2H) dirintis oleh i-MiEV.

Teknologi ini membolehkan i-MiEV membekalkan kuasa kepada perkakasan elektrik domestik pada masa bekalan terputus.

Satu lagi stratergi unik MMC ialah walaupun terdapat permintaan yang meningkat untuk EV, syarikat sedang berusaha ke arah pengkomersilan V2H dan V2G (Vehicle to Grid) untuk terus membangunkan dan mempromosikan EV dan kenderaan plug-in hybrid (PHEV).

Ini adalah satu lagi langkah ke aras era baharu integrasi di antara manusia dan kenderaan, masyarakat dan alam sekitar.

Maknanya, jika anda membeli EV ia bukan setakat kenderaan semata-mata tetapi ibarat sebuah penjana (generator) elektrik bergerak.

Satu lagi pencapaian penting MMC ialah penggunaan nadi kuasa i-MiEV untuk kenderaan komersil Minicab MiEV yang dilancarkan pada tahun 2011.

Pada September depan MMC akan membekalkan sebanyak 1,200 unit kepada Japan Post. Walaupun bersaiz kecil, Minicab MiEV cukup luas untuk kegunaan syarikat penghantar barangan dalam persekitaran bandar.

i-MiEV menggunakan bateri 16 kilowatt saiz kompak dan dengan motor elektrik di bahagian belakang kereta ini boleh dipandu sejauh 160 kilometer (NEDC) atau 105 kilometer (WLTP).

Jualan i-MiEV dan Minicab MiEV di peringkat global sudah pun mencecah 31,000 unit setakat April 2019 sejak dilancarkan sepuluh tahun lalu.

i-MiEV turut membantu dalam mempercepatkan program penyelidikan dan pembangunan nadi kuasa EV yang menyumbang kepada pelancaran SUV Outlander PHEV pada 2013.

Percaturan ini sekali lagi ternyata berbaloi apabila Outlander PHEV merupakan kenderan PHEV terlaris di Eropah dari 2015 hingga 2018.

Satu lagi perkara menarik Mitsubishi i-MiEV pernah dijual di negara kita pada tahun 2013 dan menjadi EV pertama ditawarkan secara rasmi.

Harganya? RM136,118.50 dengan cukai jalan RM10 setahun.

Google ads
Back to top button