
KAWASAKI ELIMINATOR 500 LANCAR 3 NOVEMBER INI – 44.7HP, 42.6NM
MODENAS bakal memperkembang tawaran motosikal di Malaysia menerusi Kawasaki Eliminator 500 serba baharu pada 3 November ini sempena minggu MotoGP Malaysia.

Untuk rekod, Kawasaki Eliminator 500 itu akan dijenamakan semula sebagai Modenas Eliminator 500 dan merupakan motosikal segmen 450 hingga 500cc pertama dari Kawasaki yang dipasarkan di Malaysia sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

Meskipun memaparkan angka 500 namun Eliminator 500 ini sebenarnya dilengkapi dengan platform parallel-twin (dua-silinder) 451cc serba baharu yang berupaya menjana 44.7hp pada 9,000rpm dan 42.6Nm pada 6,000rpm. Kuasa enjin pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
Walaupun berkongsi platform sama dengan Ninja 500 dan Z500 namun Eliminator 500 ini dilengkapi dengan casis yang berbeza bagi menawarkan tahap menunggang yang lebih santai dan selesa.

Pakej suspensi pula terdiri dari fork teleskopik 41mm dengan jarak gerak 120mm sementara penyerap hentak berkembar belakang dengan pelarasan pra-beban (preload) menawarkan jarak gerak 90mm. Sistem brek pula merangkumi cakera 310mm berkembar depan dengan brek 2-piston dan cakera brek tunggal 220mm belakang dengan brek 1-piston.

Perincian lain merangkumi tayar 90/90-18 depan dan 150/80-16 belakang, tangki bahan api berkapasiti 13 liter dan berat 176kg. Sementara itu, ketinggian tempat duduk diletakkan pada 735mm sementara jarak antara tayar adalah 1,520mm.
Harga rasmi untuk pasaran Malaysia berserta perincian lain akan diumumkan pada hari pelancaran.