Motosikal

2 ORANG PELUMBA MALAYSIA TERPILIH SERTAI YAMAHA VR46 MASTER CAMP DI ITALI

Dua orang pelumba tempatan terpilih untuk menyertai program latihan perlumbaan Yamaha VR46 Master Camp yang bakal dijalankan pada 12 hingga 16 September 2018 di Itali.

Program latihan edisi keenam itu merupakan hasil kerjasama dengan Akademi Penunggang VR46 Valentino Rossi.

Muhammad Aiman Tahiruddin, 16, dan Nazirul Izzat Muhammad Bahaudin, 18, akan menjalani latihan bersama dua orang lagi pelumba dari Jepun dan Indonesia. Semua pelumba itu aktif dalam Asia Road Racing Championship dan siri perlumbaan tempatan.

Antara pencapaian terbaik Muhammad Aiman ialah menjadi juara dalam Kejohanan Superbike Malaysia terbuka 2500cc 2017 dan menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan sama tahun ini.

Nazirul Izzat pula ialah pelumba yang semakin meningkat naik dengan pencapaian  terbaik menduduki tangga keenam dalam PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix CP115 (Pusingan ke-5) 2018 dan berada di tempat kelima dalam PETRONAS AAM Malaysian Cub Prix CP115 2017.

Sama seperti edisi-edisi sebelum ini, para pelumba akan menjalani latihan selama seminggu di Motor Ranch milik Rossi dan Litar Dunia Misano Marco Simoncelli.

Mereka dibimbing oleh kakitangan dan pelumba daripada Akademi Penunggang VR46. Sedia maklum bahawa kebanyakan daripada mereka bersaing dalam Kejohanan Dunia Moto2 dan Moto3.

Yamaha mula mencungkil bakat pelumba muda sejak tahun 2015 dalam usaha membawa mereka untuk bersaing ke dalam perlumbaan bertaraf dunia. Pelaksanaan program latihan Yamaha VR46 Master Camp adalah sebahagian daripada inisiatif ini.

Para peserta terdiri daripada remaja yang berlumba dalam pelbagai perlumbaan buah negara termasuklah Australia, Brazil, Kanada, Finland, Perancis, Indonesia, Itali, Jepun, Malaysia, Belanda, Thailand, Ukraine dan Amerika Syarikat.

Antara peserta yang menyerlah ialah pelumba Thailand, Apiwat Wongthananon dan pelumba Indonesia, Galang Hendra Pratama yang kini berlumba dalam World Supersport 300 class.

Google ads
Back to top button