Buletin

223 KEMALANGAN BERPUNCA KEADAAN FIZIKAL JALAN RAYA DI SELANGOR

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 223 kemalangan yang berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya termasuk jalan berlubang serta rosak akibat kerja-kerja pembinaan di Selangor sepanjang 2018 hingga 2020.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata berdasarkan statistik itu, 148 kemalangan membabitkan kematian.

“Sebahagian besar kemalangan maut itu membabitkan penunggang motosikal iaitu sebanyak 117 kes, manakala kereta (26) dan selebihnya lori.

“Bagaimanapun ada juga kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pengguna jalan raya termasuk memandu melebihi had laju,” katanya pada sidang media.

Beliau menambah, Sabak Bernam dan Klang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan di negeri ini berikutan terdapat banyak pembinaan jalan selain menjadi laluan kenderaan berat.

Katanya, kemalangan di kawasan itu juga disumbang oleh keadaan kurang pencahayaan lampu pada waktu malam.

Beliau berkata, JSPT sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan untuk melakukan pemeriksaan dan memperbaiki jalan terutama jalan bandaran yang ditadbir oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). – Awani/Utusan

Google ads
Back to top button