Buletin

RAJA DRIFT MALAYSIA, TENGKU DJAN LEY DIPILIH DUTA GAZOO RACING

Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dilantik sebagai Duta Gazoo Racing di Malaysia.

Juara dua kali Toyota Vios Challenge itu merupakan individu penting menyumbang maklum balas bernilai dalam pembangunan model Vios GR-S yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

Penglibatan pertama Tengku Djan dengan kenderaan GR adalah ketika pengenalan GR Supra tahun lalu.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. dan Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing, Akio Takeyama berkata Tengku Djan menyuntik kemahiran, pengalaman, tenaga, keseronokan dan kesungguhan ke dalam sukan permotoran.

“Semua ini selari dengan semangat yang ingin ditampilkan oleh Gazoo Racing.

“Sebagai Duta Gazoo Racing, beliau akan menjadi wajah utama bukan sahaja dalam perlumbaan tetapi terlibat dalam aktiviti-aktiviti dan program melibatkan model-model Toyota GR,” katanya.

Beliau menambah, Tengku Djan merupakan salah seorang daripada pelatih bagi Program Pembangunan Bakat Muda Gazoo Racing yang berperanan untuk memupuk pelumba muda dalam go kart dan permainan maya untuk beralih kepada perlumbaan kereta saloon.

Sementara itu, Tengku Djan berkata jenama GR adalah tentang keseronokan memandu dan kesungguhan.

“Apabila menggalas tanggungjawab sebagai Duta GR, saya tidak perlu mengubah personaliti diri kerana nilai-nilai itu memang telah saya yakini sejak dulu.

“Kereta dan produk yang dihasilkan sepatutnya menyeronokkan untuk dipandu, bukan sekadar untuk dibawa dari satu tempat ke tempat lain semata-mata.

“Bagi saya, adalah sangat penting untuk sesebuah produk itu menawarkan nikmat pemanduan,” ujarnya.

Beliau merasa sangat istimewa untuk Toyota kembali ke kancah sukan pemotoran tempatan.

Buat masa ini, Tengku Djan menambah Toyota memberi perhatian kepada sukan pemotoran di bawah jenama Gazoo Racing.

“Pencapaian ditunjukkan di peringkat antarabangsa dan Malaysia membuatkan saya sangat berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut,” katanya

Beliau menjelaskan jentera GR dibangunkan untuk memberikan kepuasan kepada pemandu.

“Dari satu sisi ada kenderaan ikonik seperti GR Supra yang memberikan prestasi dan juga warisan.

“Sudut lain pula adalah jiwa GR yang diperturunkan kepada model-model mampu milik seperti Vios GR-S yang telah dibangunkan secara menyeluruh untuk memberikan keseronokan pemanduan kepada sebuah sedan biasa,” ujarnya.

Beliau menambah model seperti GR Yaris pula menetapkan standard baru bagi kereta hatchback prestasi, terutama sekali kerana ia dibangunkan dari awal untuk menjadi sebuah kenderaan untuk kegunaan perlumbaan sebelum diperhalusi untuk kegunaan jalan raya.

Pencapaian Tengku Djan di dalam litar antaranya termasuk muncul juara dua kali pada Perlumbaan Endurans Merdeka Millenium pada tahun 2005 dan 2006.

Beliau pernah memenangi Perlumbaan Endurans Sepang 1,000KM pada tahun 2014 dan 2016.

Jurutera dinamik kenderaan itu, merupakan penerima Anugerah Pemandu Kebangsaan pada tahun 2017 daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Tengku Djan dinobatkan juara D1 Grand Prix Malaysia 2006, juara Formula Drift Asia 2009 dan 2010 serta mengharumkan nama negara dalam acara Kejuaraan Dunia D1GP All-Star yang berlangsung di Irwindale Speedway Los Angeles, Amerika Syarikat.

Google ads
Back to top button