4 RENTUNG MERCEDES-BENZ TERJUNAM DI SKVE
Empat maut apabila kereta yang mereka naiki terjunam ke bawah jejambat dan terbakar dalam kejadian di Kilometer 30.8 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.44 pagi dan semua mangsa rentung di dalam kenderaan terbabit.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Mercedes-Benz yang dinaiki empat individu itu dari arah Bandar Saujana Putra menghala ke Banting dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lalu terjunam ke bawah jambatan sebelum terbakar.
“Kes masih dalam siasatan dan saksi bebas telah dapat dikesan namun tiada CCTV di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Azizan, setakat ini hanya pemandu yang dapat dikenal pasti identitinya. Manakala tiga lagi penumpang masih belum dapat dikenal pasti.
“Pemandu dianggarkan berumur 30an beralamat di Seri Bunut 42700 Banting, Selangor serta bekerja sendiri.
“Polis sedang mengenal pasti identiti tiga lagi mangsa. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ” katanya. – Sinar Harian