Pandu Uji

5 SEBAB HONDA CITY HATCHBACK, LEBIH BAGUS DARIPADA CITY SEDAN

Sejarah Honda Jazz sebenarnya agak lama, bermula pada tahun 2001 apabila Honda melancarkan sebuah model kompak bagi segmen B. Honda Jazz pada ketika itu boleh dikatakan adalah sebuah model permulaan bagi pengguna yang ingin merasai pengalaman pemanduan sebuah kenderaan dari jenama Honda dengan saiz yang kompak.

Model Hoda Jazz dimulakan dengan versi GD, diikuti dengan GE dan berakhir pada tahun 2021 dengan model GK bagi pasaran Asia Tenggara. Bagi model untuk pasaran Eropah, kesinambungan model ini diteruskan lagi dengan model Honda Fit GR/GS yang hanya ditawarkan dalam varian i-MMD sahaja.

Bagi pasaran negara membangun dan juga Asia Tenggara, model ini digantikan dengan Honda City Hatchback yang direka khas dengan citarasa yang lebih sporti dan garang. Sekali pandang, anda sukar mengesan perbezaan antara Honda City Hatchback dan Sedan jika dilihat dari depan.

Dari muncung depan sehinggalah ke pintu penumpang belakang, rekaan Hatchback dan Sedan adalah hampir sama termasuklah dari segi penawaran trenkuasa. Bagi varian petrol ia akan ditawarkan dengan enjin 1500cc 4 silinder DOHC i-VTEC yang menjana 119 kuasa kuda dan 145Nm tork.

Semua varian S, E, V dan V Sensing akan menggunakan transmisi CVT dengan semua kuasa dihantar ke roda depan. Bagi varian RS, ia akan ditawarkan dengan trenkuasa i-MMD dengan pacuan motor elektrik yang menjana 127 kuasa kuda dan 253Nm tork

Persamaan kedua ialah dari segi platform yang digunakan oleh varian sedan dan juga hatchback dengan kedua-dua model menggunakan suspensi topang McPherson pada roda depan, torsion beam pada roda belakang dan juga jarak antara roda 2600mm.

Malah kedua dua varian juga menggunakan saiz tayar yang sama iaitu 185/55 dengan rim 16 inci. Namun Honda City Hatchback diberikan sedikit talaan yang berbeza pada penyerap hentak. Ini kerana apabila dibandingkan dengan Sedan, varian Hatchback akan lebih berat antara 10-20kg berbanding sedan.

Berat ini disumbangkan oleh perubahan saiz cermin belakang, mekanisme ULTRA SEAT dan juga mekanisme pintu kargo belakang yang lebih rumit. Namun dalam beberapa keadaan, rekaan Honda City Hatchback sebenarnya lebih bagus berbanding dengan Sedan. Antaranya ialah:

1. Senang nak parkir – ya dengan panjang keseluruhan 4345mm berbanding sedan 4553mm, varian hatchback sebenarnya 204mm lebih kontot berbanding dengan varian sedan. Keadaan ini memudahkan anda memarkir di ruangan yang sempit di ruang parkir bawah tanah, di hotel dan juga di taman perumahan yang sesak

2. Praktikal – ruang kargo belakang adalah sekitar 289 liter atau 70 liter lebih besar berbanding dengan Honda Jazz yang lama lengkap dengan tayar kecemasan. Namun apa yang menarik ialah bukaan pintu ruang kargo adalah lebih besar berbanding dengan varian sedan bagi membolehkan anda memuatkan barang besar dengan senang

3. Ultra Seat – jika kusyen barisan belakang dilipat, ia menawarkan ruang sebesar 841 liter dengan lantai yang rata. ULTRA merupakan singkatan kepada Utility, Long, Tall dan Refreshing Mode yang membolehkan kusyen belakang dilipat mengikut keperluan pemandu

4. Lebih luas di ruang belakang – ya walaupun jarak antara roda kedua dua varian datang dengan 2600mm namun ruang kaki bagi varian hatchback adalah lebih baik berbanding dengan varian sedan. Ini disebabkan lantai ruang hatchback direka dengan lebih rata di bahagian belakang tanpa tangki petrol

5. Rekaan luar varian hatchback juga lebih sporti berbanding dengan sedan dengan rekaan 2 kotak berbanding dengan 3 kotak bagi sedan. Malah kemasan jeriji depan juga menggunakan kemasan varian RS bagi semua varian yang nampak lebih sporti

Dalam aspek keselamatan, Honda City Hatchback V ini ditawarkan dengan 6 beg keselamatan udara, Sistem Honda Lane Watch, manakala bagi varian V-Sensing ia akan datang dengan Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Road Departure Mitigation, Adaptive Cruise Control dan juga Auto High Beam

Dari segi penggunaan petrol, Honda City Hatchback memberikan bacaan purata sekitar 14.8km/liter bagi pemanduan agresif dan 16.5km/liter bagi pemanduan dalam halaju sekitar 110-130km/jam. Namun sebagai sebuah kereta bandar, Honda City Hatchback lebih sesuai dipandu secara santai berbanding dengan agresif.

Namun jangan tersilap kerana, jika pedal minyak ditekan rapat ke lantai enjin 1500cc i-VTEC memang berupaya untuk memecut namun deruan enjin ini akan menjadi sedikit bising apabila unit CVT bekerja keras. Nak lagi sporti, guna sahaja unit paddleshift yang disediakan di belakang stering.

Mode pemanduan ECO turut ditawarkan dengan butang ECO disediakan namun penulis tidak berapa berminat untuk menggunakannya melainkan pada tahun depan subsidi petrol RON 95 ditarik balik. Olengan cesi dan juga tindakbalas cesi terhadap input stering juga memuaskan sewaktu sedang beraksi di selekoh

Malah prestasi Honda City Hatchback ini juga stabil ketika dipandu pada halaju tinggi dengan kawalan stering yang minima. Cuma sayangnya hanya varian RS i-MMD sahaja yang dipasang dengan brek cakera di bahagian belakang.

Bagi penulis yang biasa menggunakan brek secara agresif, brek dram terasa kurang menggigit berbanding dengan brek cakera. Tapi tak semua orang memandu secara agresif dan laju seperti penulis, maka ia bukanlah isu yang besar bagi kebanyakan pengguna

Malah jika dipandu secara santai, tetapan suspensi adalah sangat seimbang antara prestasi pengendalian dan juga keselesaan apabila melalui jalan tidak rata. Harga permulaan bagi Honda City Hatchback ialah RM 78,600 bagi varian S manakala varian V yang diuji kali ini berharga RM 91,600

Honda City Hatchback adalah pengganti Honda Jazz dengan rekaan yang lebih baik berbanding dengan Honda Jazz generasi terkini yang nampak lebih feminin. City Hatchback tampil dengan lebih maskular, mengekal prestasi enjin yang berkuasa dan pada masa sama aspek praktikaliti dikekalkan

Google ads
Back to top button