Artikel Pilihan

7 KERETA SPORTS JEPUN YANG KURANG POPULAR DAN TAK HENSEM

Bagi kita di sebelah Asia Tenggara ni, kereta-kereta sports dari negara matahari terbit memang menjadi dambaan ramai. Sebut Evo meleleh air liur, nampak WRX juling biji mata dan bila dengar bunyi deruman R34 terus kembang telinga macam gajah Afrika. Memang tak dinafikan kereta-kereta sports keluaran Jepun memang kena dengan selera kita. Kapasiti enjin tak besar mana berbanding kereta-kereta otot keluaran AS dan handling yang jauh lebih mantap berbanding kereta sports rasmi MLM.

Tapi itulah, dalam setandan buah mesti ada juga buah yang rosak kan? Kali ni kami akan perkenalkan 7 buah model yang mungkin korang tak pernah dengar dan rupanya Allahu Akbar… pereka kereta-kereta ni memang tak sayang kerja diorang ke?

Yamaha OX99-11 (1992)

Kereta ini pernah kami laporkan sebelum ini dan ia memang buatan Yamaha. Ramai yang tahu Yamaha memang champion kalau bab motosikal tapi tak ramai yang tahu bahawa Yamaha juga mempunyai kemahiran dalam pembikinan enjin kereta. Ingat jeritan enjin V10 LFA yang menggetarkan sanubari peminat kereta? Haa, itu pun hasil tangan Yamaha.

OX99-11 ini merupakan hasil usahasama Yamaha dan Automotive Design dari UK. Hasilnya lahirlah sebuah supercar 2-tempat duduk dengan enjin V12 yang mampu menghasilkan 400 hp pada 10,000 rpm. VTEC mana VTEC?

Walaupun namanya 2-tempat duduk tapi sebenarnya penumpang kedua berada di belakang pemandu dan bukannya di sebelah seperti kebiasaan kereta-kereta sport lain. Model ini pun tidak pernah dikeluarkan tapi 3 unit telah disiapkan untuk demo dan sebuah daripanya dipamerkan di muzium Shizuoka, Jepun.

SARD MC8 (1995)

Nama MC ni macam perli PokYa je ni. Kuat MC. Kereta ini dihasilkan oleh SARD ataupun nama panjangnya Sigma Advanced Racing Development, sebuah syarikat perlumbaan dan tuner yang berperanan besar dalam sejarah perlumbaan Toyota. SARD merupakan pasukan lumba pertama dari Jepun yang layak berlumba dalam perlumbaan Le Mans.

Mereka memutuskan untuk menggunakan chasis Toyota MR2 sebagai asas jentera lumba GT. Chasis itu kemudiannya diubahsuai agar lebih panjang dan lebar sebelum enjin asal ditukar ganti dengan enjin 4.0L V8 yang diambil dari Lexus LS400. Sepasang pengecas turb ditambah dan semua elemen lain seperti brek, suspensi dan aerodinamik turut dinaiktaraf.

Versi jalanan turut dihasilkan untuk memenuhi syarat perlumbaan tetapi ia tidak dilengkapi dengan pengecas turbo berkembar. Sekali-sekala model ini boleh dilihat meluncur di jalan-jalan raya sekitar Jepun dengan rupa parasnya yang agak tidak semengah. Lawa lagi MR2 standard.

Tommykaira ZZ (1999-2000)

Model ini memang tidak asing bagi generasi Playstation menerusi permainan video Gran Turismo. Tommikaira merupakan satu lagi syarikat tuner Jepun dan dinamakan sempena nama pengasas-pengasasnya iaitu Yoshihaku Tomita dan Kikuo Kaira.

Ia merupakan model sulung keluaran Tommikaira dan bukannya diasaskan dari mana-mana model. Ia dikuasakan oleh enjin 1.9L keluaran Nissan dengan 190 hp. Nampak biasa saja kan? Tapi jangan main-main kereta ia mampu membuat pecutan 0-100 kmj hanya dalam masa 4.0 saat sahaja. Ringan do kereta ni.

Mitsuoka Orochi (2006-2014)

Mitsuoka ni asalnya merupakan syarikat pengeluar badan kenderaan komersil tapi mereka juga ada mengeluarkan beberapa kenderaan unik yang diasaskan dari model-model Nissan dan Honda. Orochi ini contohnya adalah diasaskan dari NSX generasi pertama. Hah!!! Apalah dosa NSX sampai kena sumpah jadi macam ni.

Rupanya memang mengundang gelak ketawa tapi itulah, ada juga yang berminat dan boleh tahan jugak lama tempoh pengeluarannya.

Autech Zagato Stevio AZ1 (1989-1990)

Kalau ada anugerah nama paling panjang mungkin kereta ni boleh menang kot? Inilah Nissan Autech Zagato Stevio AZ1. Ia dihasilkan secara kerjasama antara sayap prestasi tinggi Nissan, Autech dan firma Zagato dari Itali. Matlamat mereka ialah untuk menghasilkan sebuah kereta sports mewah khusus untuk pasaran Jepun.

Ia diasaskan dari model Nissan Leopard tapi kali ini dilengkapi dengan enjin 3.0L turbo. Perancangan awal ialah untuk mengeluarkan 200 unit model ini tetapi ia gagal dicapai kerana model ini terlalu mahal untuk pasaran Jepun ketika itu.

Toyota 222D

Ini tak ada sangkut paut dengan Jalan 222 di Petaling Jaya okay. Teringat pulak tempat lepak zaman muda-muda dulu sambil pekena nasi lemak 50 sen. Kereta ini sebenarnya sebuah Toyota MR2 yang diubahsuai menjadi sebuah jentera rali Group S. Ia menggunakan enjin 2.2L dengan pengecas turbo gergasi dan sistem pacuan all-wheel-drive.

11 prototaip dihasilkan dan kini dikatakan hanya dua unit saja tinggal dan satu daripadanya berada dalam simpanan Toyota Motorsport, Cologne, Jerman.

Mitsubishi Debonair V 3000 Royal AMG

Ini satu lagi sedan mewah pelik keluaran Mitsubishi yang mempunyai sentuhan AMG. Nanti ada pulak mamat cakap mana ada AMG tune kereta Mitsubishi, AMG bikin Mercedes je. Halah halah konfiden betul la.

Err korang rasa kereta ni kira kereta mewah tak?

Kredit CarBuzz.com

Google ads
Back to top button